Skip to main content

G4

‘NEXT5 : YOUTH FOR QUALITY EDUCATION’ MEMPERKUKUH JARINGAN DAN IDEA PENDIDIKAN BERKUALITI

USM PULAU PINANG, 25 April 2026 – Penyertaan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program NEXT5: Youth For Quality Education anjuran Jawatankuasa Perkembangan Akademik dan Intelektual, Kolej Kediaman Ketiga Belas, Universiti Malaya telah membuka ruang kepada mahasiswa untuk bertukar pandangan serta memperkukuh jaringan strategik antara universiti awam di Malaysia.

Berlangsung di Pusat Asasi Sains UM baru-baru ini, NEXT5: Youth For Quality Education (NEXT5) merupakan salah satu projek di bawah JKP ADIN yang dihostkan oleh Kolej Mendonia berkolaborasi bersama Universiti Putra Malaysia.

Program ini merupakan salah satu projek sulung ADIN peringkat kebangsaan yang memfokuskan kepada SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) merangkumi intelektual, Pendidikan dan AI dengan penglibatan dari Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Program berbentuk penghujahan idea ini bukan saja menghimpunkan wakil mahasiswa bagi membincangkan isu berkaitan malah turut memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam suasana akademik yang dinamik.

Peserta USM diwakili oleh Thishalini Tanggayah (Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan), Nur Solehah Al Amin (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan), Maxwell Anak Batholomew (Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral), Nurahmad Luqman Alhakim Ahamad Fauzi (Pusat Pengajian Sains Fizik), Chariya A/P Nai Narong (Pusat Pengajian Sains Komputer) dan Ng Kah Yen (Pusat Pengajian Teknologi Industri), yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyertai aktiviti penghujahan serta perbincangan ilmiah sepanjang program berlangsung.

Penyertaan ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada pembangunan diri mahasiswa serta memperluas jaringan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi.

Usaha sebegini membuktikan bahawa keterlibatan mahasiswa dalam program ilmiah mampu menyumbang kepada pembentukan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berwawasan.

Teks/foto : Peserta NEXT5 :
Youth For Quality Education
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA