Skip to main content
Kepimpinan

Muhammad Zafrul Rahizan Dinobatkan ICON ESG 2026, Gerakkan ESG Dengan Menerapkan Tiga Tonggak Utama

Oleh : Muhammad Zafrul Rahizan, NYDP 1 Sekretariat Rakan Muda USM

PULAU PINANG, 10 Ogos 2026 – Gelaran ini bukan sekadar satu pencapaian, tetapi sebagai satu amanah untuk memainkan peranan sebagai penggerak kesedaran ESG dengan menerapkan tiga tonggak utama iaitu Environmental, Social dan Governance dalam program dan aktiviti yang dianjurkan

Demikian ujar Muhammad Zafrul Rahizan, Naib Yang Dipertua 1, Sekretariat Rakan Muda USM (SRMUSM), yang dinobatkan sebagai ICON ESG 2026 menerusi ESG 2026: Global Young Leaders Summit “Mobilizing Youth as a Catalyst of Blue Justice” yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu pada 8 Ogos 2026.

Program anjuran Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan RHB Bank itu menghimpunkan seramai 110 peserta, dengan hanya lima peserta terbaik dinobatkan sebagai ICON of ESG 2026.

Pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dalam beberapa tugasan yang menguji kefahaman, kreativiti, kemahiran komunikasi dan kepimpinan menerusi Kuiz ESG, Open Mic, 3 Minutes with ESG serta ESG Journey Vlog, selain mengambil kira undian peserta melalui Google Form.
“Pengiktirafan yang diterima hasil daripada proses penilaian tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab untuk membawa mesej ESG kepada lebih ramai mahasiswa.

“Saya memikul amanah untuk memainkan peranan sebagai penggerak kesedaran ESG dengan menerapkan tiga tonggak utama dalam program dan aktiviti yang akan dianjurkan pada sidang akan datang,” ujarnya.

Zafrul yang pernah menjadi pengarah projek untuk program Baktisiswa : Siswa Prihatin, Masyarakat Sejahtera melihat proses pemilihan ICON ESG 2026 sebagai satu pengalaman yang menguji pengetahuan berkaitan ESG.

“Setiap tugasan menuntut peserta menguasai kemahiran komunikasi, kepimpinan, kreativiti serta keupayaan untuk mempengaruhi dan menggerakkan orang lain,” katanya lagi.

Melalui geran bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, membolehkan pelaksanaan aktiviti kepada mahasiswa dan komuniti berteraskan Environmental, Social dan Governance (ESG) dapat dilakukan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, turut merakamkan ucapan tahniah kepada Muhammad Zafrul atas kejayaan tersebut yang disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan serta mencerminkan keupayaan mahasiswa USM dalam mengangkat agenda kelestarian, kepimpinan dan pembangunan belia.