![]()
MPP USM PERKUKUH TADBIR URUS MAHASISWA MELALUI JELAJAH PARLIMEN RENTAS UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 10 Mei 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) berjaya menamatkan Program Jelajah Parlimen yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 Mei lalu.
Program berimpak tinggi ini melibatkan seramai 30 orang wakil pelajar yang menyertai siri lawatan penanda aras ke Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Sesi ini turut membuka ruang pendedahan langsung kepada para peserta mengenai pelaksanaan sistem parlimen mahasiswa serta pelbagai mekanisme tadbir urus yang diamalkan di setiap universiti.
Dalam sesi perbincangan tersebut, antara cadangan yang diketengahkan ialah pemisahan tugas Setiausaha Agung MPP USM sebagai Setiausaha Parlimen bagi mengurangkan beban kerja serta meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi pelajar.
Menurut Pengarah Projek, Mohamad Abbas Isrun, program ini bukan sekadar lawatan akademik dan kepimpinan semata-mata, malah menjadi platform penting dalam mencetuskan idea baharu ke arah transformasi sistem organisasi mahasiswa yang lebih efisien dan berdaya saing.
“Usaha ini juga selari dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya dalam memperkukuh institusi yang telus, berintegriti dan berkesan menerusi penglibatan aktif mahasiswa dalam kepimpinan universiti,” ujarnya.
Turut terlibat dalam program berkenaan ialah Presiden Kesatuan Mahasiswa UM, Saudara Aiman Izzat, Presiden Kesatuan Mahasiswa UKM, Saudara Muhammad Haikal serta Presiden MPP UPM, Saudara Nuqman Naufal.
Tuntasnya, program ini turut memperkukuh aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2026–2035 yang menekankan pembangunan graduan holistik, seimbang dan berciri kepimpinan melalui pengukuhan tadbir urus organisasi serta penglibatan aktif mahasiswa dalam ekosistem kepimpinan institusi pengajian tinggi.
Teks/foto: Majlis Perwakilan Pelajar USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA