Skip to main content

G12G13

MPD TEKUN ANJUR TEKUN ECO VISION, CETUS KESEDARAN LESTARI

USM PULAU PINANG, 5 Mei 2026 – Kelestarian bukan sekadar wacana, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut komitmen dan tindakan berterusan.

Bersempena sambutan Hari Bumi, program Tekun Eco Vision: Nurturing the Roots of Sustainability dianjurkan sebagai sebuah platform yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menggerakkan pemikiran dan tindakan warga kampus ke arah gaya hidup yang lebih lestari dan bertanggungjawab.

Program anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) ini telah berlangsung di Dewan Utama Desasiswa, Kompleks RST pada 28 April 2026. Ia diterajui oleh Megan Ferenc selaku Pengarah Projek, dengan sokongan rakan strategik seperti Kampus Sejahtera USM, EPEHub dan Tzu Chi Foundation.

Kolaborasi pelbagai pihak ini memperkukuh pelaksanaan program yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi, di samping membuka ruang kepada warga kampus untuk terlibat secara langsung dalam usaha memelihara alam sekitar melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran.

Antara pengisian utama program ialah Sustainability Talk yang menampilkan tiga panel jemputan berpengalaman, iaitu Dr. Mohd Sukri Shafie (EPEHub), Encik Tan Beng Hin (Tzu Chi Foundation) dan Encik Janagahrasu A/L Manivannan (Kampus Sejahtera).

Perkongsian yang disampaikan bukan sahaja menyentuh isu semasa berkaitan kelestarian dan perubahan iklim, malah mencetuskan wacana yang lebih mendalam dalam kalangan peserta. Perbincangan ini turut mengajak peserta menilai semula peranan individu dalam mencorakkan masa depan bumi secara lebih bertanggungjawab.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13, iaitu Tindakan Iklim, serta SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, yang menekankan kepentingan tindakan kolektif dan perubahan gaya hidup ke arah kelestarian jangka panjang.

Selain itu, program ini turut disemarakkan dengan Earthnova Exhibition, iaitu pertandingan inovasi bertemakan bumi hijau yang menghimpunkan pelbagai idea kreatif serta solusi berimpak daripada pelajar USM.

Pameran ini bukan sahaja menjadi platform mempamerkan inovasi, malah berfungsi sebagai ruang interaksi terbuka antara peserta dan pengunjung.

Melalui perkongsian idea serta penerokaan solusi baharu, suasana pembelajaran yang interaktif dan bermakna berjaya diwujudkan, sekali gus menyemai budaya inovasi berteraskan kelestarian dalam kalangan mahasiswa.

Kemuncak program menyaksikan kumpulan Edu.Vision, Eduvantage dan SPBM dinobatkan sebagai tiga pemenang utama menerusi pembentangan projek inovasi yang praktikal, relevan dan berpotensi untuk diketengahkan pada skala yang lebih luas. Kejayaan ini membuktikan bahawa kreativiti dan kesedaran terhadap kelestarian mampu digembleng bagi menghasilkan impak yang nyata dan berterusan.

Teks: Megan Ferenc
Pengarah Projek Tekun Eco Vision: Nurturing the Roots of Sustainability
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA