Skip to main content

Money Talks : 180 Mahasiswa USM Perkasa Literasi Kewangan dan Integriti Organisasi

USM PULAU PINANG, 14 APRIL 2026 :- Isu kos sara hidup dan literasi kewangan kini bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi menjadi fokus utama dalam program Money Talks: Townhall Kewangan Mahasiswa yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM pada 6 April 2026 baru-baru ini.

Menghimpunkan seramai 180 mahasiswa untuk mengupas realiti ekonomi kampus dan tadbir urus dana persatuan, program ini menekankan bahawa sebuah persatuan yang berjaya bermula daripada pengurusan kewangan yang telus.

Sesi perkongsian aspek pengurusan kewangan dan tadbir urus kewangan organisasi pelajar.turut disampaikan oleh Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Alisha Sofea Muhd Hafeez.

Program ini turut menampilkan panel jemputan yang berpengalaman, terdiri daripada Penolong Bendahari Kanan Akauntan USM, Puan Nurul Hayati Azme dan Pengarah Pembangunan Perniagaan RHB, Encik Azwan Fairuz Rahim Omar.

Antara aspek penting lain yang dikongsikan termasuklah ketelusan & integriti, setiap sen yang keluar dan masuk mestilah mempunyai rekod serta resit yang sah bagi mengelakkan ketirisan, perancangan bajet berimpak yang bukan sekadar menyenaraikan harga, tetapi menilai Return on Investment (ROI) terhadap impak program kepada mahasiswa, kepelbagaian sumber dana dan sistem audit kendiri dalam memastikan laporan kewangan dikemas kini secara berkala tanpa menunggu akhir penggal untuk mengelakkan kekalutan dokumentasi.

Melalui sesi ini, peserta bukan sahaja pulang dengan ilmu pengurusan poket sendiri, malah faham bagaimana prosedur kewangan universiti berfungsi.

"Kami mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi celik wang dan bijak menguruskan amanah dalam organisasi," ujar Alisha lagi.

Program ini membuktikan komitmen USM dalam meningkatkan kefahaman serta kesedaran terhadap kepentingan pengurusan kewangan pertubuhan pelajar yang berkesan sekali gus melahirkan mahasiswa yang lebih celik kewangan, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Teks & Foto: Alisha Hafeez
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA