Skip to main content

MENYEMAI KASIH, MENYENTUH HATI BERSAMA ANAK YATIM PERKASA NILAI KEMANUSIAAN

USM PULAU PINANG, 21 April 2026 – Memaknakan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan masyarakat, Persatuan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program “Menyemai Kasih, Menyentuh Hati Bersama Anak Yatim” bertempat di Pusat Jagaan Nasyiatul Aisyiyah, baru-baru ini.

Inisiatif yang melibatkan 17 orang sukarelawan mahasiswa ini merupakan manifestasi jelas terhadap agenda Students for Society (S4S) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Menerusi 6 Teras Pembangunan Komuniti yang diperkenalkan,, GAPP memfokuskan kepada dua teras utama iaitu Khidmat Sosial dan Pengurusan Kemanusiaan dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

Program yang sarat dengan pengisian emosi dan keceriaan ini bertujuan menyuntik semangat baharu buat anak-anak yatim, sekali gus memastikan aspek kebajikan serta perkembangan emosi mereka terus terbela. Selain aktiviti interaktif seperti sukaneka, melukis, dan mewarna, GAPP turut menyampaikan sumbangan keperluan asas bagi meringankan beban pengurusan pusat jagaan tersebut.

Di bawah bimbingan Penasihat Program, Prof. Madya Kehormat Dr. Mohd Sayuti Hassan, barisan sukarelawan telah diberikan pendedahan secara langsung mengenai realiti kehidupan masyarakat.

Pengarah Projek, Sir Urfey Muhammad Norazmi berkata, program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan rutin, malah berfungsi sebagai medan latihan buat mahasiswa untuk menyelami kesukaran hidup golongan kurang bernasib baik.

"Kami mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki empati yang tinggi serta nilai kepimpinan yang jitu menerusi semangat kesukarelawanan," jelasnya lagi.

Usaha murni ini selari dengan agenda universiti dalam melahirkan graduan berteraskan atribut H.E.B.A.T. Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti komuniti sebegini berupaya melahirkan insan yang seimbang, di samping mengasah kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis dalam menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan.

Teks/foto : Nur Athilah & Nurin Adlina
Unit Media Persatuan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA