Melestarikan Sejarah, Memperkasa Bidang Kearsipan dalam Kalangan Mahasiswa
Oleh : Kelab Sejarah USM Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 30 Jun 2026 – Kelab Sejarah Universiti Sains Malaysia (KSUSM) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan program "Arkib Uncovered: Dari Fail ke Sejarah" bagi mendidik mahasiswa mengenai kepentingan pemeliharaan warisan dokumentasi negara.
Program yang berlangsung di Bilik Pameran Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM pada 26 Jun 2026 itu menghimpunkan 69 orang peserta.
Inisiatif tersebut diadakan bertujuan mendedahkan mahasiswa kepada peranan vital arkib dalam memelihara memori sejarah negara, di samping memperkenalkan bidang pengurusan rekod dan kearsipan sebagai prospek kerjaya yang dinamik dan relevan pada masa hadapan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Puan Fadzlette Azra Fesal.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pemeliharaan rekod dan dokumen sejarah merupakan tanggungjawab kolektif bagi memastikan warisan negara terus terpelihara untuk tatapan serta manfaat generasi akan datang.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Penasihat KSUSM, Dr. Mohamad Khairul Anuar Mohd Rosli, yang menyambut baik usaha memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap kepentingan pendokumentasian dan pemeliharaan warisan negara.
Bagi memperkayakan pengisian program, satu sesi bual bicara santai (podcast) telah diadakan bersama barisan panel berpengalaman, iaitu Penolong Pengarah II Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Encik Nazrim Syah Nazeri; serta pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun dan Dr. Abdul Rahman Mad Ali @ Abang.
Sesi tersebut mengupas peranan arkib secara mendalam serta membincangkan peluang kerjaya dalam bidang kearsipan.
Pengalaman para peserta kemudiannya dilengkapkan dengan demonstrasi pemuliharaan rekod yang dikendalikan oleh pegawai Arkib Negara Malaysia.
Melalui sesi ini, mahasiswa berpeluang menyaksikan sendiri teknik pemeliharaan bahan arkib yang dilakukan mengikut piawaian profesional.
Penganjuran "Arkib Uncovered: Dari Fail ke Sejarah" ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik antara USM dan Arkib Negara Malaysia, malah menjadi platform penting dalam menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 : Pendidikan Berkualiti melalui sasarannya dalam memastikan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pembangunan mampan, hak asasi manusia, dan kewarganegaraan global