TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Malam Variasiswa 2026: Sembilan Desasiswa USM Terjemah Agenda Kelestarian Menerusi Seni Persembahan

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 11 Oktober 2026 :- Usaha memupuk kesedaran alam sekitar dan kelestarian kini melepasi sempadan syarahan akademik apabila penuntut baharu USM Sidang Akademik 2026/2027 mula memanfaatkan pentas seni persembahan sebagai medium penyampaian mesej yang lebih kreatif, mendalam, dan berkesan.

Melalui Malam Variasiswa 2026 sebagai penutup Program Siswa Lestari, persembahan dari 9 desasiswa di ketiga-tiga kampus utama universiti memperlihatkan persembahan kebudayaan dan kesenian merangkumi muzikal teater, tarian tematik.

Bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra, program berteraskan kelestarian seni ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti pelajar, malah usaha mereka menterjemahkan isu perubahan iklim, pengurusan sisa, serta pemuliharaan ekosistem ke dalam bentuk karya yang berkesan wajar dipuji.

Berteraskan tema ‘USM for the Future: The Rhythm of Sustainable Global Impact’, persembahan kali ini bukan saja mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan malah diserikan menerusi gubahan bahan yang dikitar semula menjadikan tarian penuh warna, sketsa beremosi, dan persembahan magis.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, Malam Variasiswa merupakan wadah penting dalam kalendar mahasiswa untuk membentuk pelajar yang holistik, berdaya saing, dan berjiwa kepimpinan.

“Program ini bukan sekadar persembahan seni atau hiburan, tetapi merupakan manifestasi komitmen USM dalam mendukung pembangunan lestari sejagat, seiring dengan peranan kita sebagai universiti berstatus APEX.

“Penglibatan aktif mahasiswa dalam persembahan berkonsepkan alam sekitar ini membuktikan bahawa mesej kelestarian boleh disampaikan secara santai namun penuh dengan penghayatan,” katanya lagi.

Langkah ini sekali gus menyokong hasrat universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai sahsiah terpuji dan keprihatinan tinggi terhadap kesejahteraan alam sekitar secara berterusan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pendaftar merangkap Ketua Pentadbir BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raffar; Pengerusi Majlis Penggawa USM, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff; Dekan-dekan pusat pengajian, barisan Majlis Penggawa, barisan Majlis Perwakilan Pelajar dan pegawai-pegawai utama universiti.