Skip to main content

G16

Malam Rintihan Qalbu Semai Adab dan Cinta Ilmu dalam Kalangan Jemaah

Oleh : Persatuan Mahasiswa Islam USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 22 Mei 2026 – Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) menganjurkan program ‘Malam Rintihan Qalbu’ bertemakan Adab dengan Pendidik bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan adab sebagai teras keberkatan ilmu, kemuliaan akhlak, dan kejayaan penuntut.

Program yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Guru itu berlangsung di Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam USM pada 16 Mei lalu, dan berjaya menarik sambutan memberangsangkan daripada warga kampus serta masyarakat umum yang memenuhi ruang masjid.

Pengarah Projeknya, Adnin Khadeja Mohd Zulnaidi berkata, program tersebut dirangka sebagai wadah pengisian rohani dan penyucian jiwa buat para hadirin dalam menyelami hakikat penghormatan terhadap institusi perguruan.

Turut hadir menzahirkan sokongan ialah Timbalan Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Prof. Madya Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi yang menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kerohanian, dan penghayatan nilai adab dalam kalangan mahasiswa.

Majlis pada malam itu diserikan dengan persembahan daripada Kumpulan Qasidah Darul Fateh, sebelum diteruskan dengan sesi tazkirah khas oleh tokoh ulama dan pendakwah Nusantara, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Dalam penyampaiannya, Habib Ali Zaenal Abidin menekankan bahawa keberkatan sesuatu ilmu tidak hanya bergantung kepada kecerdasan akal semata-mata, sebaliknya lahir daripada sekeping hati yang dipenuhi adab, rasa hormat terhadap guru, serta keikhlasan.

“Ilmu yang benar-benar memberi manfaat ialah ilmu yang lahir bersama adab, kerana seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan pengetahuan, tetapi membimbing akhlak dan membentuk jalan kehidupan anak muridnya,” ujar beliau.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi medan tarbiah yang berkesan bagi melahirkan mahasiswa yang cemerlang, berintegriti, dan berkeperibadian tinggi.

Langkah ini juga dilihat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh, yang memberi penekanan khusus terhadap pembentukan sahsiah serta integriti dalam kalangan masyarakat.