![]()




Majlis Penghargaan KamPri USM Rai Komitmen Peserta dan Fasilitator
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 16 Mei 2026 – Majlis Penghargaan dan Makan Malam KamPri anjuran KamPri Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni berlangsung penuh meriah di Dewan Desasiswa Indah Kembara.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 170 pelajar tempatan dan antarabangsa yang menyertai program Pengucapan Bahasa Inggeris, selain meraikan 30 fasilitator atas komitmen serta penglibatan aktif mereka sepanjang program berlangsung.
Program KamPri merupakan inisiatif berimpak yang diwujudkan bagi membantu mahasiswa meningkatkan keyakinan diri menerusi pemerkasaan kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris, pembangunan kendiri dan pembentukan sahsiah mahasiswa secara holistik selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti.
Sementara itu, pengasas KamPri, Encik Choong Hoon Guan meluahkan rasa syukur melihat perkembangan program tersebut yang kini berjaya menarik penyertaan lebih 200 pelajar tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan diri dan komunikasi yang diterapkan dalam program berkenaan dalam memberi impak positif kepada mahasiswa.
Salah seorang peserta, Zamarul Iman Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Teknologi Industri berkata, layanan baik serta komitmen tenaga pengajar sepanjang sesi pembelajaran telah meningkatkan keyakinannya untuk terus memperbaiki diri.
Seorang lagi peserta, Nurul Aida Abd Rani dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan turut menyifatkan program KamPri sebagai pengalaman yang amat bermakna.
“Jurulatih sentiasa memberikan nasihat terbaik dan menjadi pendengar yang baik terhadap setiap cabaran serta perkembangan komunikasi yang dikongsikan. Ia membuatkan saya berasa lebih selesa, dihargai dan bermotivasi sepanjang menyertai program ini,” katanya.
Pada majlis sama, sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua fasilitator sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam membimbing peserta.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada wakil fasilitator serta pelajar yang berkongsi manfaat dan impak positif hasil penyertaan mereka dalam program KamPri.