Skip to main content

Mahasiswa USM Perkukuh Pemahaman Tadbir Urus dan Pentadbiran Negeri

Oleh : Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 22 Mei 2026 – Komitmen Universiti Sains Malaysia dalam melahirkan mahasiswa yang cakna terhadap landskap pentadbiran negara terus diperkukuh apabila seramai 21 mahasiswa kursus Seminar Pentadbiran Awam (SPU 406) dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) mengadakan lawatan akademik ke institusi pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Lawatan yang diiringi oleh Dr. Razlini Mohd Ramli, Pensyarah Sains Politik itu dianjurkan sebagai platform pembelajaran lapangan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada mahasiswa mengenai struktur, fungsi serta cabaran semasa dalam sektor pentadbiran awam sekali gus memperkukuh kefahaman mereka terhadap aplikasi sebenar teori yang dipelajari di bilik kuliah.

Bagi merealisasikan objektif tersebut, delegasi mahasiswa memulakan kunjungan di Pentadbiran Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi sesi taklimat khas yang disampaikan oleh Encik Mohd Balkish Othman berhubung peranan strategik pejabat tersebut dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pengurusan dasar kerajaan negeri.
Kunjungan itu kemudiannya menjadi detik bermakna buat para mahasiswa apabila mereka berpeluang bertemu, beramah mesra serta bertukar pandangan bersama YB Tuan Chow Kon Yeow selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang secara tidak langsung membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami dimensi kepimpinan, tadbir urus serta pengurusan pentadbiran negeri dengan lebih dekat.

Meneruskan agenda akademik, delegasi mahasiswa seterusnya dibawa ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mendalami fungsi dan peranan institusi legislatif negeri menerusi sesi taklimat komprehensif yang dikendalikan oleh Cik Syafinas Azam.

Penganjuran lawatan akademik ini bukan sahaja berjaya memperluaskan pemahaman mahasiswa terhadap sistem pentadbiran dan tadbir urus negeri, malah turut mencerminkan aspirasi USM dalam memperkasa pendidikan berteraskan pengalaman lapangan demi melahirkan graduan holistik yang berfikiran kritis, berdaya saing serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.