Skip to main content
Kepimpinan

Mahasiswa PPIP USM Tampil Yakin Sebagai Jurubahasa Isyarat Di Majlis Rasmi

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 28 Julai 2026 :- Bergelar seorang mahasiswa bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik di dewan kuliah, tetapi turut merangkumi usaha membina keyakinan diri melalui pengalaman di dunia sebenar.

Inilah lembaran bermakna yang ditempa oleh penuntut Tahun 3 dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Emi Nurzuhaili Najwa Binti Mahadi, apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai jurubahasa isyarat buat julung kalinya dalam sebuah majlis rasmi yang turut dihadiri barisan tetamu kehormat dari kementerian.

Bagi Emi Nurzuhaili, peluang keemasan ini umpama mimpi menjadi kenyataan. Biarpun pada mulanya berdepan perasaan gementar yang sukar diungkapkan, minat mendalam terhadap bahasa isyarat serta sokongan padu dan bimbingan berterusan daripada pensyarah pembimbing bidang Pendidikan Khas (masalah pendengaran dan pembelajaran) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Dr. Murugesu Supermaniam, menjadi pemusnah kepada rasa gentar tersebut.

"Tidak pernah terlintas di dalam fikiran untuk mendapat peluang sebesar ini. Dengan berbekalkan minat yang mendalam dan tekad untuk terus belajar, saya memberanikan diri berdepan khalayak ramai.

“Pengalaman ini sememangnya menjadi satu titik terindah dan tidak akan saya lupakan seumur hidup," luahnya penuh kesyukuran.

Beliau turut menyifatkan pengalaman sulung ini sebagai platform terbaik untuk mendekatkan dirinya dengan komuniti bahasa isyarat, di samping menyedari bahawa masih banyak ruang dan ilmu yang perlu dipelajari bagi memantapkan kemahiran tersebut demi kerjaya pada masa hadapan.

Pencapaian membanggakan ini turut mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif strategik yang digerakkan oleh Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.

Melalui pelbagai program pengukuhan sahsiah, latihan kemahiran insaniah, dan platform sokongan yang komprehensif, BHEPA konsisten dalam mengetengahkan potensi serta kebolehan luar biasa mahasiswa.

Usaha berterusan ini bukan sahaja melahirkan graduan yang kompeten, tetapi turut memperkasakan mereka untuk berdaya saing, berani mengambil cabaran, dan menyumbang secara bermakna kepada komuniti.