Skip to main content

G4G17

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Mahasiswa PERMATA Kebangsaan Santuni Asnaf dan Terajui Bengkel Kepimpinan di Thailand

Oleh : Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 1 Jun 2026 – Seramai dua orang wakil mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang menyertai Program Permata Global Care: Thailand 2026 bagi melaksanakan misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memperkukuh jaringan kepimpinan belia rentas sempadan.

Program yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mei di Prince of Songkla University dan Sai Buri, Thailand itu dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan dengan penglibatan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Program julung kali diadakan ini bertujuan menyantuni golongan asnaf di Sai Buri melalui pengagihan pakaian baharu serta sambutan Hari Raya Aidiladha bersama masyarakat setempat.
Selain menguruskan ibadah korban, para peserta turut bekerjasama dengan pihak masjid setempat dan Model Organisation of Islamic Cooperation (MOIC).

Kerjasama ini memfokuskan kepada usaha memperkasa amalan pengendalian daging yang bersih dan beretika, sekali gus menzahirkan aspirasi Student for Society (S4S) menerusi penglibatan aktif mahasiswa dalam menyejahterakan masyarakat.

Bagi pengisian akademik dan kepimpinan melalui Bengkel Youth Leadership and Global Collaboration yang berlangsung di Fakulti Sains Politik, PERMATA USM telah menghantar dua orang wakil iaitu Wan Khairunnisa Muhammad Abi Sofian, Tahun 4, Pusat Pengajian Pengurusan dan Ahmad Yusuff Muhammad Azmy, Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.
Bengkel yang turut dihadiri oleh mahasiswa Prince of Songkla University cawangan Pattani ini berfungsi sebagai platform pertukaran idea dan pengukuhan jaringan kepimpinan belia.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen tinggi mahasiswa dalam memacu pembangunan masyarakat global yang inklusif dan berdaya saing.

Usaha ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui sasarannya dalam perkongsian ilmu serta pembangunan kepimpinan belia manakala Matlamat Pembangunan Mampan 17 (Perkongsian Demi Matlamat) berfokuskan kepada jalinan kerjasama strategik antara institusi, komuniti, dan organisasi rentas sempadan demi manfaat bersama.