![]()
PENTAS 7ALENT SHOWTIME ANGKAT INKLUSIVITI BAKAT MAHASISWA ISTIMEWA
USM, PULAU PINANG 24 April 2026 : – Dalam memperkukuh agenda keterangkuman dan memperkasa potensi mahasiswa istimewa, Persatuan Gerakan Mahasiswa Istimewa (GMI) terus melakar langkah proaktif apabila terlibat secara langsung dalam program 7alent Showtime: Showcase Berstyle yang berlangsung di Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya, pada 21 April 2026 baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Tindakan OKU, Kolej Kediaman Ketujuh Za’ba, Universiti Malaya ini menghimpunkan tujuh penyertaan yang terdiri daripada Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya serta penyertaan luar.
Ia menjadi platform inklusif yang mengetengahkan bakat luar biasa golongan orang kurang upaya (OKU) di peringkat institusi pengajian tinggi.
Di samping membuka ruang lebih luas untuk mereka menyerlah di pentas yang lebih berprestij, program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan) melalui sasarannya dalam pemerkasaan inklusif yakni mempromosikan keterangkuman sosial, ekonomi, dan politik untuk semua orang, tanpa mengira umur, jantina, ketidakupayaan, bangsa, kaum, atau status ekonomi.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Presiden Malaysian Association for the Blinds, Datin Fauziah Mohd Ramly, yang turut hadir bersama Pengetua Kolej Kediaman Ketujuh Za’ba, Universiti Malaya, Puan Aida Nurul Ain. Pertandingan ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan kategori solo, duo dan kumpulan, dengan setiap peserta mempersembahkan bakat dan kreativiti tersendiri.
GMI, di bawah bimbingan Encik Ahmad Wafi Sahedan selaku Penasihat Bersama Persatuan, telah menghantar dua wakil bagi menyahut cabaran iaitu Muhammad Isma Ihtisyam Isharizat dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Daniel Tan Jun Sheng dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Kedua-dua wakil ini tampil dengan persembahan nyanyian solo yang berjaya mencuri perhatian para penonton.
Walaupun tidak membawa pulang kemenangan, semangat juang serta persembahan bertenaga yang ditampilkan oleh kedua-dua peserta GMI mendapat pujian dan sokongan daripada penonton serta juri.
Gelaran juara utama pertandingan telah dimenangi oleh kumpulan ADA Band daripada penyertaan luar.
Penyertaan GMI turut diserikan dengan kehadiran lima orang barisan kepimpinan tertinggi persatuan yang hadir memberikan sokongan moral, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti yang utuh dalam kalangan ahli.
Teks/Foto: Persatuan Gerakan Mahasiswa Istimewa
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA