Skip to main content

G4

Pelajar farmasi turun padang menyantuni masyarakat, perkukuh ukhuwah dan memantapkan reputasi profesionalisme.

Mahasiswa farmasi USM perkukuhkan profesionalisme klinikal dan kelestarian khidmat komuniti

USM PULAU PINANG, 13 Mei 2026 – Persatuan Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (PSF USM) terus mengukuhkan reputasi kecemerlangan holistik apabila berjaya melakar kejayaan menerusi penganjuran program bertaraf kebangsaan serta pelaksanaan inisiatif khidmat komuniti yang berimpak tinggi baru-baru ini.

Bertemakan “From Challenge to Competence”, penganjuran dalam 6th MyPSA National Pharmacy Competition (NPC) 2026 yang menghimpunkan seramai 161 peserta daripada 14 universiti di seluruh negara telah menjadi platform penting dalam memperkasa kemahiran klinikal dan teknikal mahasiswa farmasi, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan 4 iaitu Pendidikan Berkualiti.

Dalam saingan yang sengit itu, mahasiswa Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM menampilkan prestasi membanggakan apabila mencatat kejayaan dalam kesemua kategori utama yang dipertandingkan. Bagi Piala Aishah Compounding Challenge, gandingan Tan Xing Yee dan Kew Hoi Ying berjaya meraih tempat ketiga hasil persembahan yang konsisten dan meyakinkan sepanjang pertandingan.

Sementara itu, bagi Pharmacy Quiz Challenge, pasukan yang dianggotai Loo Jia Yuan, Tan Shu Yi, Wong Wei Herng dan Yeap Kai Wei berjaya meraih kedudukan naib johan selepas menampilkan ketepatan dan kepantasan yang tinggi dalam menjawab soalan. Kecemerlangan turut diteruskan dalam Clinical Pharmacy Challenge apabila pasukan Lim Chee Yong, Ng Yun Yu, Kam Way Xan dan Ng Zu Er turut menamatkan saingan sebagai naib johan dengan prestasi yang mantap serta penguasaan klinikal yang konsisten.

Di samping kecemerlangan akademik, nilai insaniah dan keprihatinan sosial turut dizahirkan menerusi program Make Them Smile (MTS) 2025/2026 yang berlangsung di St. Nicholas Home (SNH).

Program ini melibatkan seramai 59 sukarelawan dalam kalangan pelajar dan staf PPSF USM yang turun padang menyantuni 51 warga komuniti kurang upaya penglihatan dengan membawa tema “Beyond Vision, Bound by Unity”.

Program yang dikendalikan oleh Muhammad Nor Haqimi Mohd Not ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sukaneka, pengenalan bentuk ubat serta ceramah pengurusan stres, yang bukan sahaja menceriakan peserta malah memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti.

Majlis penutup program diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan Latihan Vokasional SNH, Atikah Nasrun, bersama Dekan PPSF USM, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha memupuk nilai empati, inklusiviti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Teks/foto : Persatuan Sains Farmasi
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA