LAWATAN PENGERUSI LEMBAGA GABENOR PERKUKUH AGENDA KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN DAN PEMBANGUNAN SAHSIAH PELAJAR
USM PULAU PINANG, 23 April 2026 :- Komitmen memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus diperteguhkan apabila Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia mengadakan lawatan sulungnya ke Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni petang tadi.
Lawatan ini bertindak sebagai katalis strategik dalam memperkasa pendekatan holistik bagi mendepani keperluan pelajar yang semakin kompleks dan pelbagai dimensi, dengan penekanan terhadap kesejahteraan mental, kebajikan menyeluruh serta penyediaan kemudahan yang kondusif kepada pelajar.
Hassan menegaskan bahawa BHEPA merupakan nadi utama universiti dalam menjamin kesejahteraan mahasiswa. Beliau turut menekankan supaya BHEPA haruslah bertindak pantas, mempunyai strategi dalam menangani isu pelajar, di samping memastikan imej universiti terus terpelihara sebagai institusi yang unggul, berwibawa dan diyakini.
Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM dalam sesi pembukaan pula berkata bahawa BHEPA terus mengungguli peranan sebagai teras utama pemerkasaan pembangunan mahasiswa melalui pelaksanaan pelan strategik dua tahun yang disinergikan dengan agenda universiti berteraskan APEX.
Tumpuan dalam pengukuhan kebolehpasaran graduan, pemerkasaan kebajikan pelajar termasuk golongan OKU dan antarabangsa, peluasan inisiatif sokongan, kemudahan prasarana dan penglibatan aktif dalam sukan sebagai wahana pembentukan sahsiah unggul juga merupakan agenda utama BHEPA.
Sementara itu, Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM turut menzahirkan pandangan berhubung kepentingan melahirkan graduan yang responsif terhadap kehendak semasa industri melalui pelaksanaan pensijilan digital serta pemantapan kemahiran insaniah yang berdaya saing.
Program diteruskan dengan sesi pertemuan bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar, sekali gus mendengar sendiri suara, pandangan dan aspirasi mahasiswa. Beliau turut menzahirkan harapan agar kepimpinan pelajar yang dipilih mampu menggalas amanah dengan penuh dedikasi, integriti dan komitmen tinggi.
Lawatan ini memperlihatkan kesepaduan yang utuh antara kepimpinan tertinggi universiti dan pentadbiran pelajar dalam memperkasa agenda pembangunan mahasiswa, sekali gus mengukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam memelihara kesejahteraan warganya.
Teks/Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA