![]()
KUSISDARI USM Bina Kerjasama Akademik dan Pembelajaran Global Program di China
USM, PULAU PINANG, 14 Mei 2026 – Program Zhōngguó Insight: Futures & Technology Study Visit telah membuka ruang kepada delegasi mahasiswa Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI), Universiti Sains Malaysia untuk memperluas perspektif global, meneroka perkembangan teknologi dan inovasi, serta memperkukuh jaringan akademik antarabangsa di China.
Bertempat di Beijing, lawatan yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mei 2026 ini dirangka sebagai platform pendedahan akademik yang membolehkan mahasiswa menilai ekosistem pendidikan global, memahami kemajuan teknologi semasa serta membina hubungan strategik yang menyumbang kepada peningkatan kualiti pembelajaran dan pembangunan kepimpinan mahasiswa di USM.
Di bawah bimbingan Encik Ahmad Heidey Iskandar selaku Penasihat KUSISDARI, delegasi mahasiswa telah mengikuti pelbagai pengisian strategik yang merangkumi lawatan akademik dan sesi suai kenal bersama pelajar Beijing Foreign Studies University (BFSU), kunjungan ke masjid bersejarah di Beijing bagi memahami kehidupan masyarakat Muslim di China, serta lawatan rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Kunjungan rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pula memberi tumpuan kepada perkongsian berkaitan aspek kebajikan, penyesuaian budaya serta cabaran yang dihadapi oleh pelajar Malaysia di sana.
Nurul Husna Nadzri selaku Pengarah Program Zhōngguó Insight berkata program seperti ini bukan sahaja memberikan pendedahan akademik kepada peserta, malah berperanan penting dalam membina keyakinan diri, memperkukuh kemahiran komunikasi serta memperluas perspektif mahasiswa terhadap landskap global yang semakin dinamik.
Penganjuran Zhōngguó Insight mencerminkan komitmen KUSISDARI dalam mendukung SDG 17: Kerjasama demi Matlamat melalui pengukuhan jaringan akademik dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan mahasiswa yang berdaya saing global, celik teknologi serta bersedia menerajui masa depan dengan ilmu, inovasi dan keyakinan di pentas dunia.
Teks/foto: Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan