Krab & Connect Anjuran SOLLAT Perkukuh Kerjasama Akademik Rentas Sempadan
Oleh : Aizat Syahmi & Nur Syafinaz / Persatuan Pusat Bahasa Literasi, Bahasa dan Terjemahan Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 31 Mei 2026 – Lawatan akademik terus diperkukuh menerusi penganjuran program Krab & Connect antara Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SOLLAT), Persatuan Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PBLT) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Songkhla Rajabhat University (SKRU), Thailand.
Program yang berlangsung pada 21-23 Mei 2026 itu terus menjadi platform strategik dalam memperluaskan kerjasama akademik, pertukaran budaya sekali gus mengeratkan hubungan sillaturrahim antara kedua buah institusi pendidikan.
Sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama yang terjalin, majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Asst. Prof. Dr. Komwit Sirithon selaku wakil presiden universiti. Turut hadir ialah Asst. Prof. Dr. Ratchapong Chatchawal, Dekan Fakulti Kemanusiaan, serta Dr. Salila Vongkrachang selaku Ketua Delegasi SKRU.
Mewakili SOLLAT, Encik Muhammad Khuzaimi Yahya menyampaikan penghargaan kepada pihak Songkhla Rajabhat University atas jemputan serta layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Besar harapan agar hubungan kerjasama akademik dan pertukaran budaya antara kedua-dua institusi dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa hadapan,” ujarnya.
Selaras dengan aspirasi SDG 4: Pendidikan Berkualiti, program yang melibatkan 30 mahasiswa Universiti Sains Malaysia dan 10 pelajar Songkhla Rajabhat University ini menjadi platform pemerkasaan pembelajaran rentas sempadan melalui penerokaan bahasa, budaya dan amalan akademik, sekali gus memperkukuh kompetensi global serta kemahiran komunikasi antarabangsa dalam kalangan mahasiswa.
Bagi merealisasikan objektif tersebut, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung, termasuk sesi pertukaran budaya (cultural exchange) yang membuka ruang untuk berkongsi bahasa, budaya dan adat masyarakat Malaysia serta Thailand dalam suasana yang interaktif dan harmoni.
Program Krab & Connect menjadi manifestasi komitmen mahasiswa terhadap SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat dengan memperkukuh jaringan akademik dan pertukaran budaya rentas negara, sekali gus menyumbang kepada pembentukan mahasiswa yang holistik, berdaya saing serta mampu menggalas peranan sebagai warga global pada masa hadapan.