TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Mahasiswa USM Dominasi Finance Summit 2026 : Raih Johan dan Tempat Ketiga

Oleh : Lin Xin Bei, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
KUALA LUMPUR, 7 November 2026 – Dua pasukan mahasiswa Universiti Sains Malaysia mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Johan pertandingan FinPlan Arena dan meraih Tempat Ketiga dalam FinNovation: Investment Analysis Challenge bersempena Finance Summit 2026 di Kuala Lumpur hari ini.

Kemenangan bagi kategori FinPlan Arena diraih oleh Pasukan Very Serious yang diketuai oleh Edward Wong Yi Xian bersama Eison Koo dan Beh Zhen Er (Tahun 2, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan) serta Ng Chin Qi (Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan) dari Pusat Pengajian Pengurusan, disertai Lin Xin Bei, pelajar Tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Sementara itu, Tempat Ketiga bagi kategori FinNovation: Investment Analysis Challenge dimenangi oleh Pasukan TA yang dibariskan oleh Lee Jia Jun, Ong Wei Chew, Chan Tat Cheng, Woo Shin Thing, serta Tan Zhi Wen, yang kesemuanya merupakan mahasiswa Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Pusat Pengajian Pengurusan USM.
Program anjuran Islamic Finance Students' Association (IFSA) dan Economics and Management Sciences Society (EMSS) yang berlangsung di IIUM dan Asia School of Business ini bertujuan menguji keupayaan mahasiswa dalam perancangan kewangan serta analisis pelaburan melalui aplikasi situasi sebenar.

Majlis penutup Finance Summit 2026 ini turut diserikan dengan penglibatan YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, sekali gus memberi pengiktirafan kepada peranan program ini dalam memperkasakan bakat kewangan generasi muda.

Selain itu, turut berlangsung pelbagai sesi perkongsian ilmu dan jaringan profesional (networking) yang membuka ruang kepada para peserta untuk memperluas pengetahuan, bertukar pandangan serta membina hubungan dengan individu yang berkecimpung dalam bidang kewangan dan industri berkaitan.

Pencapaian cemerlang ini membuktikan keupayaan tinggi mahasiswa USM dalam menguasai bidang kewangan dan pelaburan di peringkat kebangsaan, sekali gus menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti menerusi pemantapan kemahiran praktikal, pemikiran kritis, dan pembelajaran sepanjang hayat di luar bilik kuliah.