TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

Kenyataan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Mengenai Cadangan Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)

Oleh : Pusat Media dan Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia
PULAU PINANG, 16 Ogos 2026 : Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik kenyataan YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sememangnya telah mengambil kira keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara melalui penggubalan satu akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU sepertimana yang telah digariskan di dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.

USM yakin YB Menteri Pendidikan Tinggi telah mengambikira bahawa semenjak tahun 1971, AUKU telah melalui lapan kali pindaan di Parlimen. Walaupun semua pindaan tersebut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk menyesuaikan pendidikan tinggi dengan perkembangan semasa, terutama agenda memberikan ruang autonomi yang lebih luas kepada mahasiswa terutama dari perspektif kepimpinan, kebebasan bersuara dan penyertaan serta persediaan mahasiswa untuk menjadi pemimpin masyarakat.

Hakikat bahawa AUKU telah lapan kali dipinda tetapi masih terdapat pandangan bahawa AUKU masih lagi bersifat mengawal menunjukkan bahawa pindaan-pindaan yang telah dilaksanakan sebelum ini masih belum sepenuhnya menjawab kebimbangan dan aspirasi sebahagian pihak khususnya generasi mahasiswa hari ini.

Dalam konteks tersebut, USM berpandangan bahawa tidak ada salahnya untuk negara berani melihat semula keseluruhan kerangka AUKU termasuk memansuhkannya dan menggantikannya dengan suatu undang-undang baharu, sekiranya pendekatan tersebut dapat menghasilkan sistem pendidikan tinggi yang lebih baik, progresif dan mendapat keyakinan semua pihak berkepentingan terutamanya mahasiswa.

Yang lebih penting bukanlah sama ada nama AUKU dikekalkan atau dimansuhkan, tetapi bagaimana undang-undang baharu itu akan dibentuk dan apakah prinsip yang akan mendasarinya. USM yakin akta baharu tersebut akan digubal melalui proses konsultasi yang inklusif dengan mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik, ahli legislatif, pakar perundangan dan pihak berkepentingan lain.

Pendekatan ini selari dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan Tinggi bahawa proses pembentukan kerangka baharu tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan terutamanya mahasiswa.

Dengan demikian, USM menyambut baik penegasan YB Menteri Pendidikan Tinggi bahawa matlamat pembaharuan ini bukan sekadar untuk memansuhkan sebuah akta, tetapi untuk membina suatu kerangka pendidikan tinggi yang lebih komprehensif bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara.

Justeru, USM berharap kerangka perundangan baharu yang bakal dibentuk nanti dapat mencapai keseimbangan antara memberikan ruang yang lebih luas kepada autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, dengan keperluan untuk terus memelihara tadbir urus, akauntabiliti, integriti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan dan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi.

PROFESOR DATO’ SERI DR. ABDUL RAHMAN MOHAMED, FASc.
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia