Kem Kepimpinan & Baktisiswa USM Dekati Komuniti Kampung Tanah Merah, Jitra
Oleh : Sekretariat Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 21 Mei 2026 – Kejayaan penganjuran Kem Kepimpinan X Baktisiswa: Membina Pemimpin, Menyemai Bakti di Kampung Tanah Merah, Jitra, Kedah membuktikan komitmen Gabungan Anak Pulau Pinang Universiti Sains Malaysia dalam memperkasa salah satu agenda Students for Society yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Berlangsung pada 15-17 Mei 2026, program berskala komuniti ini melibatkan seramai 38 orang Exco Gabungan Anak Pulau Pinang USM bersama lebih 30 orang Anak Tunas Kampung Tanah Merah.
Pengarah Projek, Muhammad Amir Imran Musa berkata, program ini diadakan bagi memberi ruang kepada mahasiswa membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran kepimpinan, serta memupuk semangat kesukarelawanan dan kerja berpasukan.
"Inisiatif ini amat penting dalam usaha melahirkan generasi mahasiswa yang lebih berdaya saing dan cakna terhadap masyarakat," katanya.
Kelancaran program ini turut dijayakan melalui kerjasama erat yang diketuai oleh Muhamad Azdey Suib selaku ketua kampung dan barisan pengurusan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu dalam memantau dan memastikan pelaksanaan aktiviti berjalan dengan selamat, lancar, dan memberi impak positif yang maksimum kepada masyarakat setempat.
Bagi memastikan impak yang mendalam, program ini memberikan fokus yang tinggi kepada empat elemen utama pembangunan mahasiswa iaitu pembangunan insan menyeluruh, keseimbangan holistik pelajar, kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis & strategik.
Melalui elemen-elemen ini, program tersebut secara tidak langsung membantu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan, kesukarelawanan, dan pembangunan komuniti.
Sepanjang tiga hari di Kampung Tanah Merah, pelbagai pengisian berbentuk interaktif dan khidmat sosial telah dijalankan antaranya adalah latihan kepimpinan dan aktiviti berkumpulan (LDK), sukan bendang tradisional bersama penduduk tempatan, program khidmat komuniti (gotong-royong) dan sesi motivasi bersama anak-anak kampung
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuh lagi hubungan antara golongan mahasiswa dan komuniti setempat, di samping menyemai nilai kepimpinan, kebersamaan, dan semangat bakti yang tinggi dalam kalangan peserta.