KELAB KUNG FU USM : LIMA DEKAD MEMARTABATKAN WARISAN DAN JATI DIRI
USM PULAU PINANG, 11 Mei 2026 – Kelab Kung Fu USM membuktikan keampuhannya sebagai sebuah organisasi mahasiswa yang dinamik apabila berjaya meraikan ulang tahun Ke-50 penubuhannya serentak dengan penganjuran Malam Kung Fu Ke-46 di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.
Acara gilang-gemilang itu dihadiri hampir 1,200 penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memperlihatkan bahawa seni mempertahankan diri bukan sekadar teknik tempur, malah merupakan falsafah kehidupan yang menyeimbangkan antara kelembutan dan kekuatan.
Membawa tema “Diwarisi Secara Turun-temurun”, sambutan kali ini memberi penekanan khusus kepada kelangsungan ilmu, nilai, dan semangat Kung Fu yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain tanpa noktah.
YB Tuan Wong Hon Wai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang merangkap ADUN Paya Terubung, menzahirkan rasa kagum beliau terhadap daya tahan kelab tersebut.
"Bertahan selama lima dekad bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam masa 50 tahun, kelab ini telah berjaya melahirkan ramai graduan yang kini berbakti di pelbagai sektor awam dan industri. Bak kata pepatah, 'patah tumbuh hilang berganti', namun semangat yang ditinggalkan oleh para perintis tetap utuh dalam sanubari ahli masa kini," ujar beliau.
Tuan Wong turut menekankan kepentingan interaksi budaya melalui seni mempertahankan diri. Beliau menarik perhatian terhadap pengiktirafan antarabangsa seperti Silat dan Taiji yang telah diangkat sebagai warisan UNESCO.
“Di Malaysia, kita mempunyai kepelbagaian. Silambam baru-baru ini diiktiraf sebagai warisan negeri Pulau Pinang. Justeru, Kung Fu, Taiji, Silat, dan Silambam boleh berinteraksi di satu pentas yang sama. Kita perlu saling belajar bagi menjalin masyarakat yang harmoni, ibarat 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat',” tambahnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Wan Jaafar Yahaya, menyifatkan pencapaian 50 tahun ini sebagai bukti disiplin dan komitmen tinggi organisasi mahasiswa.
“Sambutan ulang tahun ke-50 ini bukan sekadar simbol kejayaan sebuah kelab, tetapi lambang dedikasi yang diwariskan. Usaha ini selaras dengan pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', yang mana Kelab Kung Fu USM terus relevan mendepani cabaran zaman,” kata beliau.
Pengarah Projek, Saudara Lim Ther How, turut berkongsi rasa bangga atas perjalanan panjang kelab tersebut yang bukan sahaja melahirkan individu yang tangkas, malah membentuk jati diri dan semangat kesukanan yang kental dalam kalangan ahli.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr. Ng Theam Foo, Penasihat Kelab Kung Fu USM, Prof. Emeritus Dr. Yuen Kah Hay, Penaung Kelab Kung Fu USM, Dato' H'ng Ban Choon, Presiden Persatuan Wushu, Tarian Singa dan Tarian Naga Pulau Pinang, Master Kok Siew Hong, Mahaguru Pusat Sukan dan Kebudayaan Ching Xing serta tetamu jemputan kenamaan lain.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA