KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG MENJADI PEMIMPIN - NUR SYAZWANI SUNTIK SEMANGAT PELAJAR PPKI
BALIK PULAU, 7 Mei 2026 – Bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan, Balik Pulau, sesi perkongsian ilmu dalam Program Kepimpinan Generasi Madani (PKGM) berjaya menyuntik semangat kira-kira 50 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari zon utara yang merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
"Kekurangan diri bukan titik noktah, tetapi cabaran untuk membuktikan potensi diri yang sebenar." Itu merupakan mesej utama yang dibawa oleh Nur Syazwani Mohd Hazry, tahun 3 Pusat Pengajian Pengurusan yang merupakan seorang mahasiswa OKU fizikal daripada Persatuan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) pada 5 Mei 2026 baru-baru ini.
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia ini bermatlamat untuk mencetuskan lonjakan semangat dalam kalangan pelajar berkeperluan khas agar lebih berani mencabar had keupayaan diri serta mempercayai potensi kepimpinan yang ada dalam jiwa masing-masing.
Nur Syazwani, yang mewakili suara belia OKU, tampil berkongsi naratif perjuangannya dalam mendepani cabaran fizikal demi menuntut ilmu dan membina sahsiah diri.
Menggunakan pendekatan interaktif, beliau menekankan bahawa kepimpinan tidak diukur pada kesempurnaan anggota badan, sebaliknya pada keteguhan jati diri dan impak yang mampu diberikan kepada masyarakat.
"Pelajar OKU bukan sekadar mampu berdiri sama tinggi dengan orang lain, malah kita mempunyai potensi besar untuk memimpin dan menjadi agen perubahan kepada negara," tegas beliau semasa sesi tersebut.
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Malaysia adalah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) yang menempatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di kelas khas dalam sekolah harian biasa (kerajaan/bantuan kerajaan). Ia bertujuan menyediakan akses pendidikan relevan, intervensi awal, dan memaksimumkan potensi MBK ke arah kemahiran hidup berdikari melalui kurikulum terancang
PKGM dilihat sebagai platform terbaik dalam melahirkan generasi MADANI yang inklusif, iaitu setiap individu tanpa mengira latar belakang atau kekurangan tetap diberikan ruang untuk mencorak masa depan negara.
Melalui penganjuran program sebegini, Akademi Kenegaraan Malaysia membuktikan komitmennya dalam memperkasakan jati diri anak muda secara menyeluruh, sekali gus memastikan golongan berkeperluan khas tidak terpinggir daripada arus perdana kepimpinan nasional.
Teks/foto: Nur Syazwani Mohd Hazry, Gabungan Anak Pulau Pinang
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA