Jejak Integriti : Meneroka Institusi Negara, Membina Pemimpin Berwibawa
Oleh : Nur Azwareena Razali, Yang Dipertua SRIM USM Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 1 Julai 2026 – Seramai 32 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program "Jejak Integriti: Mahasiswa & Parlimen" bagi memperkukuh kefahaman mengenai aspek integriti, kepimpinan, dan sistem pentadbiran negara.
Program selama dua hari yang berakhir pada 30 Jun 2026 itu merupakan inisiatif strategik Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) USM untuk mendekatkan mahasiswa dengan institusi utama negara, iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Parlimen Malaysia.
Peserta yang terlibat terdiri daripada wakil Unit Integriti USM, SRIM, Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), serta Parlimen Mahasiswa USM daripada ketiga-tiga kampus.
Yang Dipertua SRIM USM merangkap Pengarah Program, Nur Azwareena Razali, menegaskan bahawa pengalaman pembelajaran secara langsung ini amat penting dalam membentuk mahasiswa yang beretika dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
"Program ini bukan sekadar lawatan, malah menjadi wadah untuk mahasiswa memahami integriti dan tadbir urus negara secara lebih mendalam. Kami ingin melahirkan pemimpin yang berpengetahuan, berprinsip, dan mampu memacu pembangunan negara," jelasnya. Sepanjang lawatan di IIM, peserta didedahkan kepada inisiatif strategik seperti Individual Integrity Profile (IIP) dan Integrity Youth Ambassador (IYA) melalui sesi taklimat oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat IIM, Mohammad Khairul Azwan Mohd Ropal. Sesi tersebut turut merangkumi perbincangan mengenai kepentingan kepimpinan beretika dalam tadbir urus moden.
Di Parlimen Malaysia, peserta berpeluang menyaksikan sendiri persidangan Dewan Rakyat serta diberi penerangan oleh Pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, Normaizatul Anis Jamalluddin.
Pengalaman ini memberikan gambaran jelas kepada mahasiswa mengenai proses perbahasan dan penggubalan dasar sebagai tunjang sistem demokrasi berparlimen.
Turut hadir membimbing delegasi mahasiswa ialah Pegawai Siasatan Unit Integriti USM merangkap Penasihat SRIM dan AMAR USM, Dr. Mohd Rodzi Ahmad, serta Pembantu Tadbir Unit Integriti USM, Megat Muhammad Badrul Hisyam Ismail.
Penganjuran program ini adalah manifestasi komitmen USM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16, iaitu Keamanan, Keadilan, dan Institusi yang Kukuh, sekali gus menyemai budaya integriti dan ketelusan dalam kalangan generasi muda sebagai aspirasi universiti