JALINAN MESRA SEKRETARIAT RAKAN MUDA USM PERKUKUH EMPATI, BAWA SINAR KEGEMBIRAAN BUAT WARGA EMAS
USM, PULAU PINANG, 30 April 2026 – Dalam usaha memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen keprihatinan sosial, pelbagai inisiatif kesukarelawanan dan kemasyarakatan terus digerakkan secara aktif bagi menyemai nilai empati dalam masyarakat.
Program berteraskan komuniti ini bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara mahasiswa dan masyarakat, malah berperanan penting dalam memupuk nilai kasih sayang, hormat-menghormati serta kepekaan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya warga emas termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Anjuran oleh Sekretariat Rakan Muda Universiti Sains Malaysia (SRMUSM) dengan penglibatan seramai 52 orang Majlis Tertinggi dan Exco, Program Rakan Prihatin : Jalinan Mesra yang berlangsung di Pusat Jagaan Gemilang, Sungai Petani, Kedah telah membuatkan kira-kira 20 orang warga emas yang terdiri daripada golongan berusia serta OKU gembira, melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan bagi mengeratkan hubungan serta menceriakan suasana di pusat jagaan tersebut.
Dipimpin oleh Pengarah Projek, Nur Anis Syahirah Khairul Nizam, pelbagai aktiviti interaktif dan santai seperti “Senyum dan Sasar”, iaitu permainan membaling bola ke dalam sasaran bagi mencetuskan keceriaan, serta “Memory Blast”, yang melibatkan aktiviti menulis dan melukis secara bersama bagi merangsang memori dan interaksi warga emas di situ.
Selain itu, sesi beramah mesra turut diadakan, memberi ruang kepada mahasiswa dan warga emas untuk berkongsi pengalaman serta membina hubungan sillaturrahim yang lebih dekat.
Encik Tuan Salman Tuan Mohd Jaffar, selaku penasihat dan Encik Mohd Amar Aiman, selaku pengurus turut menyambut baik penganjuran program sebegini yang dianggap dapat memberi sokongan emosi kepada mereka.
Melalui pelaksanaan program ini, para peserta bukan sahaja berpeluang menyumbang kepada masyarakat, malah turut didedahkan kepada realiti kehidupan warga emas, sekali gus memupuk nilai empati, semangat kesukarelawanan serta rasa tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa.
Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan agenda Students for Society teras ke empat (kesihatan dan kesejahteraan) melalui penglibatan aktif mereka dalam khidmat komuniti serta usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Teks/foto: Sekretariat Rakan Muda USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA