Gambar atas : Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Sahad menyantuni peserta muallaf di Kompleks Darul Hidayah.
Jalinan Kasih PERKIM USM Santuni Golongan Muallaf
Oleh : Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) USM
USM, PULAU PINANG 20 Mei 2026 – Komitmen dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan menyantuni masyarakat terus diperkasa apabila Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan program Jalinan Kasih : Santuni Golongan Muallaf yang berlangsung di Kompleks Darul Hidayah, Pulau Pinang pada 17 Mei 2026.
Program berteraskan kebajikan dan pembangunan insaniah yang dikendalikan oleh Nur Syaherah Mohd Radi bersama 27 sekretariat itu berjaya menghimpunkan seramai 68 peserta muallaf.
Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Sahad, Penasihat 1 PERKIM USM menyifatkan program seumpama ini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih prihatin dan dekat dengan masyarakat melalui pendekatan kemasyarakatan yang bersifat holistik dan inklusif.
“Mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi serta keupayaan memahami cabaran yang dihadapi masyarakat, khususnya golongan muallaf,” ujarnya.
Beliau menambah, program seperti ini mampu menjadi platform terbaik dalam membentuk mahasiswa yang lebih empati, matang dan berjiwa masyarakat.
Turut hadir bersama ialah Penasihat 3 PERKIM USM, Puan Suhaila Abdullah serta Ketua Unit Ukhwah Kompleks Darul Hidayah, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Puan Ruslida Rusli.
Antara pengisian yang dijalankan termasuk sesi ramah mesra bersama penghuni Kompleks Darul Hidayah yang memberi ruang kepada muallaf berkongsi pengalaman hidup sebelum dan selepas memeluk Islam.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan aktiviti penulisan khat yang bukan sahaja memupuk kreativiti malah membantu mereka menghayati ayat-ayat al-Quran dalam suasana yang lebih santai dan bermakna.
Melalui pelaksanaan program seperti ini, PERKIM USM berharap hubungan antara mahasiswa dan masyarakat dapat terus diperkukuh sekali gus melahirkan generasi mahasiswa yang lebih prihatin, berjiwa masyarakat serta memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.
Program ini juga selari dengan aspirasi Student for Society dalam memperkasakan elemen Khidmat Sosial menerusi penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan yang mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat.