![]()
IRAMA PERJUANGAN JIWA BERTAUHID: MALAM IRAMA NASYID MAKUM SEMARAKKAN DAKWAH BERIRAMA
USM, PULAU PINANG, 15 April 2026 :- Irama Perjuangan Jiwa Bertauhid” menjadi nadi dan ilham utama penganjuran Malam Irama Nasyid MAKUM, sebuah platform berprestij yang mengangkat seni nasyid sebagai medium dakwah yang indah dan penuh penghayatan.
Berteraskan semangat ini, setiap alunan irama dan bait lirik yang dipersembahkan bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi suara jiwa yang membawa mesej ketuhanan, nilai kemanusiaan serta seruan kebaikan yang menyentuh emosi dan nurani pendengar.
Bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, program ini dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), menghimpunkan penyertaan daripada sembilan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Utara Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menegaskan bahawa nasyid bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan medium dakwah yang indah dan berkesan dalam menyampaikan mesej kebaikan.
“Elemen pengajaran dan ibrah yang disampaikan melalui alunan nasyid mampu meresap ke dalam jiwa serta memberi impak yang mendalam kepada masyarakat,” ujarnya.
Penganjuran program ini turut selari dengan aspirasi SDG16 : Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh, melalui pendekatan muzik berteraskan dakwah, program ini berperanan dalam memupuk keamanan dalaman (inner peace), memperkukuh nilai saling menghormati serta menyemai budaya harmoni dalam masyarakat kampus.
Turut memeriahkan majlis ialah barisan pegawai MAKUM dari seluruh universiti awam, Prof. Madya Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi, Penasihat Persatuan Mahasiswa Islam, saudara Azfar Al Hafiz Azman, YDP MPP USM, Saudara Mohamad Syakir Luqman Zulkiffili, YDP PMI USM dan Saudari Nur Faizah Jefri, Pengarah Projek Malam Irama Nasyid MAKUM 2026.
Program ini menjadi pentas dakwah yang menghubungkan seni dan spiritual dalam satu pengalaman yang bermakna, segar dan berimpak tinggi, sekali gus menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap seni nasyid. Kehangatan malam turut diserikan dengan penampilan artis jemputan terkenal, Hijjaz, yang menambahkan lagi aura penghayatan dan kemeriahan suasana.
Kemuncak acara menyaksikan UPM dinobatkan sebagai johan sekali gus merangkul anugerah Persembahan Terbaik selepas tampil dengan persembahan yang mantap, puitis dan penuh penghayatan. Tempat kedua diraih UNIMAP, manakala USIM melengkapkan kedudukan di tempat ketiga, sekali gus menutup tirai penganjuran dengan penuh gemilang dan berprestij.
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA