Skip to main content

IPG KAMPUS PULAU PINANG JUARA BORIA PESTA PULAU MUTIARA KE-4

USM PULAU PINANG, 3 Mei 2026 :- Seni warisan Boria terus membuktikan kelestariannya sebagai nadi budaya di Pulau Pinang apabila berjaya menyatukan masyarakat melalui gabungan irama, jenaka, dan mesej kehidupan yang relevan merentasi zaman.

Bertemakan “Boria Pulau Mutiara: Rentak Yang Bersinar”, edisi keempat Pesta Pulau Mutiara anjuran Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) itu telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia semalam.

Acara tahun ini tampil lebih kompetitif dengan pengenalan kategori pertandingan yang melibatkan pelbagai institusi pendidikan. Antara yang mengambil bahagian termasuklah SMK Datuk Hj. Mohamed Noor Ahmad, GAPP USM, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, berkata bahawa boria merupakan sebuah medium komunikasi yang ampuh.

"Boria bukan sekadar gabungan seni tari dan lakonan semata-mata, malah ia merupakan sebuah karya yang sarat dengan kupasan isu semasa serta mesej moral yang mampu memberi pengajaran mendalam kepada masyarakat," ujar beliau semasa merasmikan majlis tersebut.

Kemuncak acara menyaksikan IPG Kampus Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara selepas memukau juri dengan sketsa padat yang mengangkat konsep MADANI.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, selain turut merangkul gelaran Tukang Karut Terbaik. Tempat kedua disandang oleh SMK Datuk Hj. Mohamed Noor Ahmad, manakala GAPP USM sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga.

Pengarah Projek, Nurul Aisyah Ismail menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran kali ini. Beliau berharap agar usaha memartabatkan seni boria ini diteruskan dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan ia tidak ditelan zaman.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Dr. Leelany Ayob selaku Penasihat Program dan Muhammad Nazmiuddin Mohamad Nasir, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar

Acara yang dihadiri hampir 1,200 penonton itu ditutup dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan kesenian ADIKARMA bersama artis jemputan popular, Ammar Haikal dan Iman Troye, yang berjaya menghangatkan suasana sehingga ke penghujung tirai.

Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA