Skip to main content

G3

IKUT TREND ATAU JAGA POKET? TTS@UK USM DEDAH CABARAN KEWANGAN MAHASISWA ERA DIGITAL

USM, PULAU PINANG, 13 April 2026 – Memasuki episod ke-6 dengan kupasan yang semakin matang dan relevan, Podcast TTS@UK (Tenang-Tenang @ Unit Kaunseling) anjuran Unit Kaunseling, BHEPA USM, terus menjadi platform signifikan dalam membincangkan isu semasa yang dekat dengan kehidupan mahasiswa.

Dengan mengangkat topik bertajuk “Ikut Trend atau Jaga Poket? Cerita PayLater Mahasiswa”, episod terbaharu ini telah berlangsung secara langsung menerusi Facebook Live pada Khamis lalu dan berjaya menarik penyertaan seramai 350 orang penonton dalam kalangan pelajar serta warga universiti.

Dikendalikan oleh Encik Mohammad Zafran Mohd Rafa’ai, Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM selaku hos, dengan menampilkan barisan panel jemputan iaitu Encik Ahmad Anwar Omar, Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM dan Dr. Nik Hadiyan Nik Azman, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, topik ini mengupas isu pengurusan kewangan mahasiswa dalam era digital yang semakin mencabar, khususnya melibatkan penggunaan kemudahan pembayaran tertangguh seperti PayLater.

Selain itu, turut ditekankan bahawa kecenderungan terhadap kepuasan segera boleh mempengaruhi keputusan kewangan, sekali gus memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan kestabilan kewangan jangka panjang jika tidak dikawal.

Para panel juga berkongsi panduan praktikal kepada mahasiswa untuk mengurus kewangan dengan lebih berkesan, termasuk membezakan keperluan dan kehendak serta mengawal impuls berbelanja yang dipengaruhi oleh trend dan media sosial.

Perkongsian ilmu oleh para panel memberi impak bermakna dalam membentuk pemikiran mahasiswa yang lebih berhemah terhadap pengurusan kewangan, khususnya dalam mendepani cabaran era digital yang dipengaruhi oleh gaya hidup dan trend semasa, selaras dengan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan. Inisiatif ini turut memperkukuh usaha USM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi juga seimbang dari aspek emosi, kesejahteraan diri dan nilai kehidupan.

Teks/foto: Unit Kaunseling BHEPA
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA