Skip to main content

G4

Komponen Generik MyCSD : Khidmat Masyarakat

I-CARE 2.0 : Celik Digital Pacu Kemahiran Anak Yatim dengan Pemasaran Digital

Oleh : Unit Setiausaha Program I-Care 2.0
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 23 Jun 2026 – Majlis Penghuni Desasiswa Indah Kembara (MPDIK), Sidang Akademik 2025/2026, telah menganjurkan Program I-Care 2.0: Celik Digital di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang sebagai platform memperkasa literasi digital dan membuka ruang kepada anak-anak yatim meneroka potensi ekonomi melalui kemahiran pemasaran digital.

Berteraskan Sijil Eksekutif Pemasaran Digital Institut Koperasi Malaysia (IKMa), program yang berlangsung pada 20 Jun 2026 itu membekalkan peserta dengan pengetahuan asas pemasaran digital, keselamatan siber dan pengurusan perniagaan moden sebagai persediaan melahirkan generasi celik digital yang lebih berdaya saing dalam era ekonomi digital.

Pengarah Projek, Nur Syaza Syamimi berkata, program ini dirangka bagi memperkasa anak-anak yatim dengan literasi digital, kesedaran keselamatan siber dan kemahiran pemasaran digital sebagai nilai tambah untuk meningkatkan potensi diri serta kebolehpasaran pada masa hadapan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Nik Hadiyan Nik Azman, Penolong Penggawa Desasiswa Indah Kembara merangkap penasihat program, bersama Cik Nur Dalila Suhaimi yang mewakili Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang.

Melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pengisian modul pemasaran digital, para peserta berjaya memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan diri, sekali gus menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui sasarannya untuk memastikan akses kepada pendidikan yang inklusif, saksama, dan berkualiti untuk semua peringkat umur, di samping menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Program I-Care 2.0: Celik Digital berjaya menjadi wadah pemerkasaan ilmu dan kemahiran yang membentuk generasi celik digital, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan, selaras dengan aspirasi Student for Society yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Teras Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.