Skip to main content

G3

Oleh : Unit Kaunseling
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Unit Kaunseling dan Rakan Prihatin Perluas Akses Khidmat Sokongan Psikososial Mahasiswa

USM, PULAU PINANG, 16 Mei 2026 – Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia telah mengambil inisiatif proaktif dengan membuka reruai Outreach Kaunseling bersempena program kemanusiaan “Rakan Prihatin: Red Heroes” anjuran Sekretariat Rakan Muda USM yang berlangsung di Dewan Utama Desasiswa (DUD).

Kehadiran kaunselor dan pelatih kaunselor Unit Kaunseling BHEPA dalam program ini bertujuan memperluas akses perkhidmatan sokongan psikososial kepada mahasiswa secara lebih santai, terbuka dan mesra pelajar.

Melalui pendekatan outreach, mereka berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pengunjung, sekali gus berperanan merapatkan jurang serta mengurangkan stigma terhadap perkhidmatan kaunseling yang sering disalah tafsir sebagai hanya untuk individu bermasalah.

Reruai outreach tersebut tampil dengan pelbagai pengisian interaktif termasuk saringan psikologi ringkas, perkongsian tip pengurusan stres, serta sesi bimbingan kerjaya dan akademik secara terus kepada pengunjung.

Inisiatif ini dilihat amat signifikan dalam membantu mahasiswa mengimbangi kesejahteraan emosi, khususnya ketika mereka turut terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti pendermaan darah.

Selain itu, penglibatan Unit Kaunseling dalam program berskala besar ini turut memperkukuh kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai kewujudan sistem sokongan psikososial yang sentiasa bersedia membantu mereka dalam mendepani cabaran kehidupan di kampus.

Pendekatan “turun padang” ini menerima sambutan amat menggalakkan apabila reruai tersebut menjadi tumpuan pelajar yang ingin mendapatkan maklumat serta panduan berkaitan penjagaan kesihatan mental secara lebih praktikal.

Program “Rakan Prihatin: Red Heroes” bukan sahaja berjaya mencapai objektif pengumpulan darah untuk mereka yang memerlukan, malah turut menjadi platform advokasi kesedaran tentang keseimbangan kesihatan fizikal dan mental.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Unit Kaunseling BHEPA USM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui penyediaan akses sokongan emosi yang inklusif, mudah dicapai dan berterusan kepada mahasiswa