Skip to main content

G3G17

GABUNGAN ELEMEN KESIHATAN DAN SENI, PERSATUAN BAHASA TIONGHUA USM TINGKATKAN PEMBANGUNAN HOLISTIK MAHASISWA

USM PULAU PINANG, 23 April 2026 – Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) dan dibantu oleh Unit Badan Perkhidmatan Masyarakat PBT USM membuktikan komitmen tinggi terhadap kesejahteraan komuniti apabila berjaya mengumpulkan sebanyak 108 beg darah melalui Kempen Derma Darah serta pelancaran Program Siri Persembahan Pentas yang berlangsung selama dua hari di Dewan Utama Pelajar A.

Program yang menggabungkan elemen kesihatan dan kesenian ini bukan sekadar kempen derma darah biasa, malah menjadi platform pelancaran Siri Persembahan Pentas PBT yang mempamerkan bakat serta pembangunan holistik mahasiswa.

Bagi memastikan kualiti dan piawaian klinikal terjaga, PBT USM dengan kerjasama strategik dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah yang diketuai oleh Dr. Goay Di-Min, para pengunjung turut menerima nilai tambah melalui kolaborasi bersama Pusat Sejahtera USM.

Pembelajaran eksklusif mengenai teknik CPR-AED serta ilmu mengenai pertolongan cemas lain turut diberi secara percuma bagi memperkasa kesiapsiagaan warga kampus dalam menghadapi situasi luar jangka.
Saudara Wong Wee Yuan, YDP Persatuan Bahasa Tionghua ketika ditemui berkata, keunikan kempen kali ini juga terletak pada integrasi elemen kesenian. Sambil berbakti, PBT turut mempromosikan aktiviti kebudayaan mereka sebagai medium pembangunan sahsiah ahli yang prihatin dan responsif terhadap keperluan masyarakat sekeliling.

Inisiatif murni ini bergerak selari dengan agenda kelestarian global, khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat). Ia membuktikan bahawa persatuan pelajar mampu menjadi penggerak utama dalam menyokong sistem kesihatan awam negara.

Semangat kesukarelawanan yang dipamerkan oleh warga USM dalam kempen ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha murni pada masa hadapan, sekali gus membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah tinggi nilai empati dan tanggungjawab sosialnya.

Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA