![]()
E@TS Connect: JEJAK DIGITAL MAHASISWA USM DI PENTAS NASIONAL
USM, PULAU PINANG, 5 April 2026 – Seramai empat ahli kumpulan E@TS (Event at The Bricks) dari The Bricks, Universiti Sains Malaysia, menyertai Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, pada 1 hingga 2 April 2026 baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (M@KMUM) dan dirasmikan oleh YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, program bertemakan “Dari Kampus ke Dunia Niaga” ini berjaya menarik penyertaan 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, khususnya dalam Pertandingan Business Combat (PUM).
Kumpulan E@TS diwakili oleh Visnu Tahun 2 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Putra Alif Zafran Abdullah Tahun 2 Pusat Pengajian Seni, Nur Izzani Mohd Zaidi Tahun Akhir Pusat Pengajian Komunikasi, dan Jennifer Gading anak James Tahun 3 Pusat Pengajian Sains Kimia.
Mereka mengetengahkan inovasi E@TS Connect, sebuah platform tempahan ruang di The Bricks yang memperkemas pengurusan acara secara sistematik dan efisien. Inisiatif ini juga menjadi antara aplikasi pengurusan acara terawal yang dibangunkan oleh mahasiswa IPTA di Malaysia.
Di bawah bimbingan Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi, Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, kumpulan E@TS berjaya mara ke peringkat Pitching Suku Akhir dan membawa pulang hadiah saguhati RM2,000, yang akan dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan aplikasi E@TS Connect.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan mahasiswa yang inovatif dan berdaya saing, selari dengan SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, serta mengukuhkan peranan The Bricks sebagai platform pembangunan kepimpinan dan keusahawanan pelajar.
Teks/Foto: Visnu,
Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA