TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

20131231 160929000 I OS

20131231 164744000 I OS

20131231 172105000 I OS

20131231 162747000 I OS

Dialog Mahasiswa Perkukuh Kesedaran Dasar Luar dalam Kalangan Mahasiswa

Oleh : Prathiin Saravanamuthu
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 15 Jun 2026 – Program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia telah menghimpunkan seramai 271 mahasiswa USM bagi memperkukuh literasi dasar luar serta kefahaman terhadap peranan Malaysia dalam arena antarabangsa dan cabaran global semasa.

Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) dan Angkatan Belia MADANI pada 12 Jun 2026 baru-baru ini berperanan sebagai platform strategik dalam memperkasa literasi dasar luar negara serta melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis, berwawasan global dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

Sesi dialog tersebut menampilkan Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Eksekutif Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia dan Encik Abdul Razak Sharif, Pegawai Khas 1 Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri sebagai panel jemputan, dengan perbincangan dipandu oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff selaku moderator.

Perbincangan interaktif tersebut mengupas isu hubungan antarabangsa dan dasar luar Malaysia, di samping membuka ruang interaksi dinamik antara mahasiswa dan panel menerusi sesi soal jawab yang memperkaya perspektif berkaitan diplomasi, keselamatan serantau dan kerjasama antarabangsa, sekali gus memperkukuh kesedaran terhadap peranan strategik generasi muda dalam landskap global.

Program tersebut turut disempurnakan dengan sesi rumusan oleh Dato’ Dr. Haji Roslan Husin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri yang menegaskan kepentingan penguasaan ilmu dasar luar dan pemahaman isu global dalam melahirkan generasi muda yang cakna, berinformasi dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa hadapan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan pembangunan graduan berdaya tahan dan berpemikiran global, serta menyokong SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Berdaya Tahan sekali gus memperkukuh literasi dasar luar dalam kalangan mahasiswa dan melahirkan graduan holistik yang berwawasan global.