![]()
“DI SEBALIK JARAK, ADA IMAN YANG TAK BERJARAK”: FKI USM-KLE 2026 PERKUKUH SAHSIAH MAHASISWA PERANTAUAN
BELGAUM, INDIA, 23 April 2026 – Festival Kesenian Islam (FKI) USM-KLE International Medical Programme (IMP) 2026 berjaya melabuhkan tirainya pada 19 April 2026, setelah berlangsung selama dua minggu. Program tahunan ini bukan sahaja menjadi medan menyemarakkan penghayatan Islam, malah berfungsi sebagai platform utama dalam menggilap potensi serta bakat mahasiswa perubatan di perantauan.
Membawa tema yang menyentuh jiwa, “Di Sebalik Jarak, Ada Iman Yang Tak Berjarak”, festival kali ini memberi penekanan khusus kepada aspek keteguhan iman dan ukhuwah meskipun para pelajar berada jauh dari keluarga serta tanah air.
Penganjuran FKI 2026 bertujuan melahirkan graduan yang holistik dengan mengimbangi kecemerlangan akademik menerusi pengukuhan aspek spiritual dan sosial. Selain memupuk kreativiti, program ini turut mengasah keyakinan diri serta kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan peserta.
Sepanjang festival berlangsung, pelbagai aktiviti kompetitif telah dijalankan bagi mencabar keupayaan pelajar, antaranya ialah kesenian & kreativiti merangkumi pertandingan khat, poster, dan karya kreatif, sesi syiar & kepimpinan melalui pertandingan khutbah, azan, da’iyah, dan nasyid manakala intelek & fizikal melibatkan aktiviti pertandingan kuiz dan eksplorasi.
Menambah seri festival, pendakwah tersohor dari Malaysia, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, hadir sebagai penceramah jemputan. Kehadiran beliau memberikan suntikan motivasi dan pengisian rohani yang mendalam, khususnya dalam mendepani cabaran unik sebagai mahasiswa perubatan di luar negara.
Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Students for Society (S4S) dan SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) yang menekankan pembangunan menyeluruh merangkumi aspek kepimpinan, komunikasi, dan nilai kemasyarakatan yang tinggi.
Majlis penutupan rasmi yang berlangsung pada 19 April 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan USM-KLE IMP, Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah. Dalam ucapannya, beliau memuji komitmen jawatankuasa penganjur dan para pelajar dalam menjayakan festival yang penuh bermakna ini.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM atas sokongan padu dan sumbangan yang memastikan kelancaran program.
Melalui kejayaan penganjuran ini, FKI diharapkan terus menjadi program tahunan yang berupaya memupuk kecintaan terhadap nilai-nilai Islam, memperkukuh ukhuwah sesama mahasiswa, serta membina modal insan yang seimbang dari segi intelek, sahsiah, dan rohani.
Teks/foto : Persatuan Islam 25/26 USM-KLE
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA