Skip to main content

DELEGASI PETRONAS KE USM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PEMBANGUNAN PELAJAR

USM, PULAU PINANG, 8 Mei 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan industri, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia telah menerima kunjungan hormat delegasi Petronas menerusi program Lawatan Delegasi Petronas ke USM.

Melibatkan sesi perbincangan tawaran biasiswa, bertempat di Bilik Mesyuarat H20, Pejabat Pentadbiran BHEPA, pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya yang turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan Petronas dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi khususnya hal ehwal berkaitan kebajikan dan potensi pelajar melalui peluang penajaan pendidikan yang mampan.

“Kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri amat penting dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing serta bersedia mendepani cabaran dunia pekerjaan masa kini,” ujarnya.

Turut hadir bersama ialah Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, Ketua Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah – OKU dan Siswa Sulung serta Puan Nurul Hayati Azme, Penolong Bendahari Kanan, Seksyen Kewangan Pelajar, Jabatan Bendahari yang turut terlibat dalam aspek pengurusan dan penyelarasan kewangan berkaitan urusan biasiswa pelajar.

Sementara itu, delegasi Petronas diketuai oleh Puan Rahimah Asnawi, Pengurus Penajaan dan Pembangunan Pelajar turut menyatakan komitmen Petronas untuk terus memperluas kerjasama dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, daya tahan dan kebolehpasaran yang tinggi.

Pertemuan ini bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara USM dan Petronas, malah jalinan kerjasama yang lebih progresif dan berimpak tinggi dapat dipertingkatkan dalam melahirkan generasi graduan yang kompeten, berdaya tahan, berkemahiran serta mampu memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan.

Teks/Foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA