Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kebudayaan

Dari Bilik Bedah ke Galeri Seni: Sisi Kreatif Pelajar Perubatan Semarakkan Malam Klasika Abadi 2026

Oleh : Exco Kesihatan Sidang Akademik 2025/2026
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM-KLE, Belgaum, 19 Jun 2026 – Dunia perubatan yang sering dikaitkan dengan realiti kesihatan kini diwarnai dengan sisi lembut apabila tangan yang lazimnya memegang instrumen perubatan, kini mahir mencoretkan karya seni yang penuh bermakna

Malam Klasika Abadi 2026 anjuran Exco Perhubungan Awam dan Kebudayaan, Medical Society (MedSoc) 2025/2026 dengan kolaborasi Legenda Cultural 2026 telah berjaya dianjurkan di HBR Hall, USM-KLE dengan penglibatan seramai 150 orang pelajar bersama pensyarah dan staf USM-KLE.

Berlangsung pada 14 Jun 2026, pelbagai persembahan menarik seperti tarian tradisional, teater, muzik, dikir barat serta pertunjukan fesyen telah membuktikan bahawa mereka mampu melakar keindahan melalui kanvas seni, membuktikan bahawa jiwa seorang pengamal perubatan tidak hanya berpaksikan pada sains, tetapi juga kehalusan seni.

Sebagai platform menyemarakkan apresiasi terhadap seni dan budaya di samping memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan, program ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyerlahkan bakat, kreativiti dan kepelbagaian budaya, sekali gus mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kampus.

Dipimpin oleh Saudara Adam Harith Aiman Lang, penganjuran program ini turut menjadi medium dalam meraikan keunikan seni dan warisan budaya, melalui penglibatan aktif pelajar dalam setiap persembahan yang dipentaskan.

Penganjuran Malam Klasika Abadi diharapkan dapat diteruskan sebagai platform yang memperkukuh jalinan silaturahim, mengetengahkan bakat dan kreativiti serta memupuk apresiasi terhadap seni, budaya dan nilai perpaduan dalam kalangan warga USM-KLE, sekali gus memperkayakan pengalaman berkomuniti di kampus yang harmoni dan inklusif.