Skip to main content

G4

CELIK KEWANGAN : PASUKAN PUSAT PENGAJIAN PENGURUSAN USM BUKTIKAN KEHEBATAN DI PENTAS AKPK GROW CLUB

USM PULAU PINANG, 19 April 2026 – Pasukan mahasiswa daripada Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), Universiti Sains Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih tempat keempat dalam pertandingan Arena Kewangan Siswa Interuniversiti (AKPK) yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan mahasiswa USM dalam menguasai literasi kewangan, sekali gus menonjolkan kematangan mereka dalam membuat keputusan kewangan yang strategik dan bijak di peringkat kebangsaan.

Pertandingan anjuran AKPK GROW Club dengan kerjasama Management Club UKM itu disertai oleh 10 pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk UKM, UPSI, INTI, UTAR, dan UiTM. Ia bertujuan memupuk kesedaran pengurusan wang yang sihat dalam kalangan belia, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti.

Pasukan USM yang dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Haslindar Ibrahim mempamerkan semangat juang yang tinggi. Mereka terdiri daripada Lew Carol selaku ketua pasukan, bersama-sama empat rakan seperjuangan iaitu Nur Hidayah Baharudin, Noor Shatirah Ahmad @ Che Hamat, Nur Athirah Mohamad Roslan, dan Nurdania Delylah Mohd Amin.

Sepanjang pertandingan, peserta diuji melalui tiga fasa kritikal yang menuntut kecekapan analisis dan kepantasan berfikir. Cabaran bermula dengan sesi kuiz “Bijak Hutang” yang menguji kefahaman mengenai pengurusan liabiliti secara berhemah, diikuti “Perang Literasi GIMKIT” iaitu cabaran interaktif yang menguji ketepatan membuat keputusan kewangan dalam tempoh singkat.

Peringkat kemuncak merupakan Debat Khas Kewangan yang memerlukan peserta menghujahkan isu pelaburan dan cabaran ekonomi semasa secara kritis dan berfakta.

Pencapaian ini bukan sekadar tentang kemenangan, malah mencerminkan keberkesanan pendedahan ilmu pengurusan harta dan risiko yang diterapkan di USM. Inisiatif seumpama ini penting bagi memastikan graduan tidak hanya cemerlang akademik, tetapi juga "bijak wang" serta mampu menguruskan aliran tunai, mengelakkan perangkap hutang, dan memahami instrumen pelaburan demi masa depan yang lebih stabil.

Melalui penyertaan sebegini, Pusat Pengajian Pengurusan USM berharap agar pencapaian ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus memperkasakan kemahiran insaniah dan celik kewangan demi mendepani cabaran dunia sebenar yang semakin kompleks.

Teks/foto : Lew Carol,
pelajar Pusat Pengajian Pengurusan USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA