TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD : Sukan

Bukan Sekadar Kemenangan, SUKAD Fasa 2 Jadi Medan Pupuk Atribut H.E.B.A.T. Mahasiswa

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 18 Mei 2026 :- Tirai Kejohanan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Fasa 2 bagi Sidang Akademik 2025/2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari dalam suasana meriah dan penuh semangat kekitaan di Kampus Induk, Universiti Sains Malaysia.

Majlis penutupan yang diadakan di Stadium Olahraga USM itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anwar Hashim.

Kejohanan kali ini diselaraskan oleh Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, serta Pusat Sejahtera USM, selain turut dibantu oleh hampir 50 orang sekretariat pelajar.

Hairul Anwar berkata bahawa penganjuran sukan ini bukan sekadar medan pertandingan semata-mata, malah berfungsi sebagai platform penting untuk membentuk nilai kepimpinan dan perpaduan.

"Kemenangan bukanlah segalanya, apa yang lebih bermakna adalah pengalaman, semangat kesukanan yang tinggi, serta jalinan ukhuwah yang terjalin erat sepanjang kejohanan ini berlangsung," katanya.

Sebanyak enam acara sukan telah dipertandingkan sepanjang fasa kedua ini, melibatkan sukan Ragbi 7 Sebelah, Frisbee Campuran, Bola Keranjang 3x3, Bola Sepak 9 Sebelah, Sepak Takraw, dan Ping Pong.

Sementara itu, Pengarah Projek SUKAD Fasa 2, Nur Anis Arissa Mat Nasir, turut menzahirkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program berskala besar ini.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi MPD, pengurus-pengurus kontinjen desasiswa, barisan pengadil daripada Persatuan Sukan Negeri, serta seluruh ahli sekretariat atas komitmen padu mereka,"ujarnya lagi.

Penganjuran SUKAD ini adalah selari dengan hasrat universiti untuk menerapkan atribut H.E.B.A.T. dalam kalangan mahasiswa.

Melalui penglibatan aktif dalam aktiviti fizikal seperti ini, ia bukan sahaja mampu melahirkan insan yang seimbang dan berdaya tahan, malah menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat sukan baharu dalam suasana persaingan yang sihat serta harmoni.
Turut hadir menyaksikan majlis penutupan tersebut adalah barisan Majlis Penggawa Desasiswa USM serta ratusan penyokong yang memberikan sokongan padu kepada kontinjen masing-masing.