Bicara Universiti: Menelusuri Isu Pengambilan Pelajar Baharu Dan Tanggungjawab Sosial Universiti
Oleh : Unit Kaunseling, BHEPA Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG 16 Jun 2026 – Berteraskan tajuk “Bicara Universiti: Tanggungjawab Sosial Universiti kepada Masyarakat”, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor USM telah menganjurkan sesi podcast secara langsung melalui platform Facebook yang menampilkan Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., Naib Canselor USM sebagai panel utama.
Program yang berlangsung pada jam 15 Jun 2026 ini dikendalikan oleh Encik Ahmad Anwar bin Omar, Ketua Pegawai Psikologi, BHEPA USM yang bertujuan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat berkaitan peranan universiti dalam pembangunan pendidikan tinggi negara serta isu-isu semasa yang melibatkan akses dan dasar kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Dalam sesi tersebut, Naib Canselor turut memperjelaskan dasar pengambilan pelajar baharu ke IPTA yang dilaksanakan berdasarkan prosedur serta garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan prinsip keadilan, integriti dan ketelusan sentiasa dipatuhi.
“Pengambilan pelajar sentiasa diselaraskan oleh kementerian dan agensi berkaitan melalui mekanisme yang boleh di audit serta berasaskan prinsip merit, kelayakan akademik dan keperluan semasa negara.” ujarnya.
Menurut beliau, IPTA memberi tumpuan kepada pengambilan pelajar dalam bidang kritikal dan berimpak tinggi seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, sains kesihatan, teknologi serta bidang strategik lain bagi memenuhi keperluan tenaga profesional negara secara mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif bantuan yang disediakan oleh universiti bagi menyokong pelajar baharu daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk bantuan kewangan, skim zakat, tabung kebajikan pelajar, bantuan makanan, kemudahan penginapan serta program sokongan pelajar bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.
Naib Canselor turut menegaskan komitmen berterusan universiti terhadap tanggungjawab sosial dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, lokasi geografi mahupun status keluarga, selain menjadikan sesi ini sebagai platform penjelasan bagi merungkai pelbagai persepsi dan dakwaan yang tular di media sosial berkaitan isu pengambilan pelajar di IPTA.
Penganjuran program ini diharapkan menjadi wadah penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan berfakta kepada warga universiti serta masyarakat umum, di samping memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat melalui komunikasi yang lebih telus, berterusan dan bertanggungjawab, seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara serta memperteguh peranan universiti sebagai institusi ilmu yang berwibawa.