Skip to main content

G2

Bantuan Barangan Asas PETAS Perkukuh Kesejahteraan Mahasiswa USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 6 Jun 2026 – Prihatin terhadap cabaran kos sara hidup, kekangan kewangan dan isu penempatan yang dihadapi mahasiswa, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh agenda kebajikan pelajar melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan kesejahteraan serta kelangsungan kehidupan warga kampus sentiasa terpelihara.

Program Pemberian Barangan Asas Makanan kepada Pelajar Tanpa Asrama USM anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM bersama Majlis Perwakilan Pelajar Tanpa Asrama (MPPETAS) telah berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) USM dengan penglibatan seramai 40 mahasiswa yang tidak mendapat penginapan di desasiswa.

Dipimpin oleh saudari Julita Balqis Badrul Munir, NYDP 2 MPP USM, inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar melalui penyediaan keperluan asas makanan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

Dr. Suziana Mat Yasin selaku Penggawa PETAS merangkap Penasihat MPPETAS yang hadir mewakili Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, melihat program ini merupakan manifestasi semangat keprihatinan dan kebersamaan yang menjadi tunjang kepada budaya komuniti universiti.

“Sokongan berterusan terhadap kebajikan mahasiswa amat penting bagi memastikan setiap pelajar berpeluang menamatkan pengajian dalam keadaan yang lebih sejahtera dan kondusif,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Muhamaad Nur Hazim Mazlan, Penolong Penggawa PETAS, saudara Azfar Al Hafiz Azman, YDP MPP USM serta saudari Nur Adibatul Husna Azrul Fazli, YDP MPPETAS dan wakil Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah – OKU & Siswa Sulung.

Fatin Umairah, pelajar Tahun 2 Pusat Pengajian Komunikasi, menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas pelaksanaan inisiatif tersebut yang disifatkan amat membantu meringankan beban pelajar yang berdepan kekangan kewangan serta tidak memperoleh penempatan di desasiswa.

“Bantuan yang diberikan bukan sahaja memenuhi keperluan asas harian, malah menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik tanpa dibebani tekanan kewangan,” ujarnya.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mendukung SDG 2: Sifar Kelaparan melalui penyediaan bantuan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan, sekali gus memperkukuh ekosistem kampus yang inklusif, prihatin dan sejahtera serta memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa dibebani keperluan asas harian.