Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan
USM Perkasa 29 Kepimpinan Mahasiswa Menerusi USM Future Leader 2026
Oleh : Zulkarnain Johor, Tahun 3 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Suntingan : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 21 November 2026 – Seramai 29 mahasiswa Universiti Sains Malaysia menerima watikah pelantikan bagi menggalas amanah kepimpinan menerusi Majlis Watikah Pelantikan USM Future Leader 2026 semalam.
Program anjuran Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Alumni (ADC) itu bertujuan mengiktiraf mahasiswa cemerlang dalam aspek akademik, sahsiah serta kepimpinan, selain memperkukuh sinergi strategik antara golongan pelajar dengan jaringan alumni universiti.
Pegawai Tadbir ADC USM, Wan Muhammad Khairi Wan Nasru berkata, inisiatif berkenaan dirangka sebagai platform khusus bagi menggilap potensi diri, meningkatkan kemahiran insaniah serta membina keyakinan peserta dalam mendepani cabaran masa hadapan.
"Manfaatkanlah peluang ini sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman, memperkukuh semangat berpasukan dan menjadi teladan yang baik kepada mahasiswa yang lain," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Pengarah projek, Zulkarnain Johor, pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan pula berkata, pelantikan hari ini adalah titik mula kepada sebuah perjalanan luar biasa.
“Anda dipilih bukan kerana anda sudah sempurna, tetapi kerana potensi besar yang ada dalam diri anda untuk memimpin masa depan,” ujarnya.
Barisan kepimpinan baharu yang dilantik ini dipertanggungjawabkan untuk memacu empat agenda utama, iaitu membina jaringan alumni dan mahasiswa, bertindak sebagai penggerak utama program PAUSM, mencipta peluang pembangunan kerjaya bersama alumni, serta merapatkan jurang hubungan antara kedua-dua pihak.
Penyerahan watikah pelantikan tersebut menjadi simbolik bermulanya tanggungjawab baharu golongan pelajar ini dalam menerajui kepimpinan mahasiswa yang berintegriti dan berwawasan.
Penganjuran program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan pihak universiti dalam melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berkualiti menerusi latihan kepimpinan berstruktur dan bimbingan secara langsung daripada golongan alumni.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Alumni USM, Encik Mohd Shukor Saleh, Bendahari Persatuan Alumni USM, Ts. Dr. Siti Nasuha Hamzah, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP) USM, Anwar Mohamed Noor serta wakil Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Hafiz Meah Ghouse Meah.