Skip to main content

AKKPT ’25: USM Julang Kejuaraan Keusahawanan Digital, Bawa Pulang RM17,000

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Foto : Muhammad Asri Fahmi Omar, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026 :- Universiti Sains Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan digital inovatif apabila berjaya merangkul gelaran Johan dan Naib Johan dalam anugerah berprestij, Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT ’25), yang berlangsung di Grand Ballroom, Hilton Kuala Lumpur, semalam.

Kecemerlangan keusahawanan pelajar itu diterajui oleh Mohamad Hasbi Che Mat, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM.

Menerusi empayar perniagaannya, Semanis Kamu Trading dinobatkan sebagai Johan Kategori Platform Digital Pelajar Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai utama bernilai RM10,000.

Rentak kemenangan USM digandakan lagi menerusi Peroot Café yang diusahakan oleh pelajar Sarjana Pusat Pengajian Pengurusan USM, Muhammad Fikri Hakimi Mazlan. Beliau berjaya meraih Naib Johan bagi Kategori Platform Digital Graduan Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

AKKPT ’25 yang dianjurkan secara dwitahunan merupakan pengiktirafan tertinggi negara bagi menghargai kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), ahli akademik, pentadbir, dan mahasiswa yang memacu landskap pembangunan serta pendidikan keusahawanan.

Pada edisi ke lapan kali ini, komitmen padu USM dalam melahirkan usahawan berimpak tinggi terbukti apabila universiti berjaya menembusi persaingan sengit melibatkan 400 penyertaan daripada 67 buah IPT untuk bergelar finalis dalam empat kategori utama dipertandingkan iaitu Universiti Terbaik, Platform Digital Pelajar Terbaik (Semanis Kamu Trading), Platform Digital Graduan Terbaik (Peroot Café), Syarikat Pemula Pelajar Terbaik (Vanguard Production).

Majlis gilang-gemilang tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi kementerian, agensi strategik seperti SME Corp dan MDEC, serta para pemain industri negara.

Turut hadir memberikan sokongan moral dan menerima anugerah bagi pihak universiti ialah barisan pengurusan tertinggi USM iaitu Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, Prof. Dato' Dr. Aldrin Abdullah, Ahli LGU USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA dan Puan Hajar Zitu Akmar Mohd Fauzi, Sektor Keusahawanan Pelajar PPP.

Kejayaan berganda ini bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyuburkan ekosistem keusahawanan digital, sekali gus merealisasikan agenda keusahawanan nasional demi melahirkan modal insan yang rintang cabaran.