Skip to main content

SANGOM TAMU LAYANG 3.0 : PERSIS USM PERKASA AGENDA KEUSAHAWANAN SOSIAL

USM PULAU PINANG, 13 Mei 2026 – Sektor keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa USM terus mendapat momentum apabila sekumpulan pelajar diberi peluang untuk memanfaatkan pengalaman praktikal perniagaan melalui penganjuran Sangom Tamu Layang 3.0 anjuran Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS).

Bertempat di Tapak ConvEx, aktiviti yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Mei 2026 ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian budaya, malah bertindak sebagai medan praktikal bagi pelajar mengasah kemahiran pengurusan perniagaan dan tanggungjawab sosial.

Program ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Pelaksanaan Inisiatif Gelombang 1 (2026-2028): CETUS, yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035. Fokus utama diberikan kepada Lonjakan 1, iaitu melahirkan pembelajar yang berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan, dan adaptif.

Inisiatif ini menekankan penghayatan etika serta nilai murni menerusi pengukuhan modul pendidikan dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. Pada masa yang sama, aspek pembelajaran berasaskan pengalaman dan keusahawanan diperkasakan melalui projek pekerjaan, penyesuaian iCGPA, serta kerangka Pendidikan Bersepadu Keusahawanan (EIE).

Sebagai manifestasi kepada elemen keusahawanan sosial, wakil Jabatan Keusahawanan PERSIS, Saudari Abigail Imbungan berkata, sebanyak enam gerai jualan telah dikhaskan untuk pelajar sepanjang program berlangsung bagi mengasah bakat perniagaan dan kemahiran insaniah mereka secara praktikal.

"Selain dapat membantu kelab dari segi pendapatan tambahan supaya lebih banyak aktiviti bermanfaat dapat dijalankan pada masa hadapan, ini adalah cara kami menyumbang semula kepada persatuan sambil mempraktikkan ilmu keusahawanan," ujar Abigail.

Bagi Saudari Batrisyia Azahan, pelajar Tahun 2 dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), penglibatan dalam perniagaan minuman semasa program ini berlangsung merupakan langkah strategik untuk menjana pendapatan tambahan di samping membina jati diri usahawan. Beliau menyifatkan penyertaan tersebut bukan sahaja mengukuhkan daya keusahawanan dalam dirinya, malah memberi dimensi baharu kepada pembelajaran luar kuliah yang berteraskan impak sosial

Nada yang sama dikongsi oleh rakan seperjuangannya, Dina Masturina Qistina Zulhaimi, yang menyifatkan pengalaman ini sebagai peluang keemasan untuk menambah pendapatan dan mempelajari ilmu pengurusan keusahawanan.

Penganjuran Sangom Tamu Layang 3.0 membuktikan bahawa persatuan pelajar mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif.

Dengan menggabungkan elemen jualan dan khidmat komuniti, mahasiswa tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, malah fokus kepada kelestarian organisasi dan pembangunan kemahiran insaniah.

Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA