TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

260 Pelajar USM Serlahkan Inovasi di Putrajaya FOI 2026: Perkukuh Komitmen Lahirkan Siswa H.E.B.A.T

Oleh : Muhammad Syahreel Salim Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjadi tumpuan apabila Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 membuka tirai dengan gagasan melonjakkan Malaysia daripada pengguna inovasi kepada negara pencipta dan pemilik teknologi.

Berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”, majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini memberi fokus kepada penguasaan teknologi kritikal seperti AI, kuantum, semikonduktor, dan keselamatan siber melalui penyediaan Risalah Idea Malaysia.

Penganjuran kali ini turut menyerlah menerusi kehadiran 72 tokoh dan panelis serta delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab wacana intelektual serantau.
Penyertaan seramai 320 pelajar Universiti Sains Malaysia dari Kampus Induk, Kampus Kesihatan, dan Kampus Kejuruteraan membuktikan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan mahasiswa/i H.E.B.A.T. yang berdaya saing, berfikiran kritis, serta berjiwa kepimpinan global.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan lebih 17 pengisian utama merentasi tujuh zon termasuk 16 sesi perbincangan, pameran penyelidikan, inisiatif IPT@Komuniti bersama 20 universiti awam dan lapan Hospital Pengajar Universiti, serta Karnival Kerjaya.

Turut hadir menyerikan acara ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan USM termasuk Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Wan Jaafar Wan Yahaya, yang mencerminkan kesungguhan USM memacu agenda inovasi negara.