24 MAHASISWA USM TERIMA SUNTIKAN DIGITAL, PERKUKUH PEMBELAJARAN ERA TEKNOLOGI
PULAU PINANG, 24 April 2026 – Dalam mendepani landskap pendidikan yang semakin berteraskan teknologi, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap keterangkuman digital apabila seramai 24 pelajarnya menerima bantuan komputer riba dan tablet dalam Majlis Penyerahan Bantuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Bangunan H20.
Daripada jumlah tersebut, seramai 19 pelajar menerima komputer riba hasil sumbangan Broadcom, manakala lima pelajar lagi menerima tablet daripada dermawan luar yang prihatin.
Pemilihan penerima dilaksanakan secara saringan rapi melalui sesi temu duga oleh BHEPA berdasarkan pencalonan pusat pengajian, dengan penilaian berfokus kepada keperluan kritikal pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40).
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Encik Shukeri A. Rahaman, Pengarah Broadcom Global Distribution Hub, Dr. Sazani Shafie serta Pegawai Tadbir Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Encik Tuan Salman Tuan Jaafar.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan pembelajaran, malah membawa makna yang lebih besar sebagai pemangkin kepada kejayaan akademik dan pembangunan diri mahasiswa. Beliau turut menyeru para penerima agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut dengan kesungguhan dan disiplin tinggi dalam menuntut ilmu.
Penganjuran program ini mencerminkan iltizam berterusan USM dalam memperkasa kebajikan pelajar serta memperluas akses kepada pendidikan digital secara menyeluruh.
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA