230 Peserta Berentap di Kejohanan Catur Individu Terbuka USM Ke-32
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 7 Jun 2026 – Sukan catur terus diperkasa melalui penganjuran kejohanan di institusi pengajian tinggi yang berperanan mencungkil bakat baharu, memperkukuh sukan minda serta mengasah pemikiran strategik, ketelitian dan daya tahan mental dalam kalangan peserta.
USM 32nd Chess Individual Open Tournament 2026 anjuran USM Bridge & Chess Club yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar (DUP), USM bertemakan “Knight’s Valor: Quest for The Crown”, kembali dengan edisi ke-32 sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara kejohanan catur individu berprestij di peringkat universiti dan komuniti.
Menghimpunkan seramai 230 peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur yang bersaing dalam lima kategori utama iaitu Terbuka, Wanita, IPT, Bawah 18 Tahun dan Bawah 12 Tahun, kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan berprestasi tinggi, malah berperanan sebagai platform memperkukuh budaya pemikiran kritis.
Penasihat USM Bridge & Chess Club, Profesor Madya Dr. Teh Wen Chen memuji kecemerlangan strategi, ketekunan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang pertandingan, sekali gus mencerminkan kualiti dan perkembangan positif komuniti catur yang semakin berkembang.
“Peserta yang belum berjaya agar tidak berputus asa kerana setiap kekalahan merupakan peluang untuk terus belajar, memperbaiki diri dan membina kekuatan baharu.” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Bridge & Chess USM merangkap Pengarah Program, Chu Tuck Zhang berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan menyediakan platform persaingan sihat kepada pemain catur, malah menjadi medium untuk menghubungkan komuniti catur daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur dalam suasana yang kompetitif serta harmoni.
Majlis penutupan kejohanan turut dihadiri Ketua Arbiter, Encik Ooi Si Feng serta Penolong Ketua Arbiter, Cik Choo Xuan.
Pertandingan dijalankan menggunakan format Rapid 15+5, iaitu setiap pemain diberikan masa asas 15 minit dengan tambahan lima saat bagi setiap langkah.
Format ini bukan sahaja mempercepatkan rentak permainan, malah menuntut ketajaman pemikiran, ketepatan strategi serta kecekapan pengurusan masa dalam situasi bertekanan tinggi.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti yang menekankan pembelajaran sepanjang hayat serta pemerkasaan kemahiran dan pemikiran kritis, kejohanan ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada peserta dan pencinta sukan catur, sekali gus memperkukuh peranan Universiti Sains Malaysia dalam melahirkan bakat berdaya saing serta menganjurkan program berimpak tinggi merentas komuniti dan institusi.