100 UNIT KOMPUTER RIBA BUAT PERMATA USM : SINERGI ZAWAIN & BHEPA MEMPERKASA KECEMERLANGAN PELAJAR ASNAF
USM PULAU PINANG, 4 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmen kebajikannya dengan memastikan kekangan peranti tidak lagi menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik pelajarnya.
Melalui kolaborasi strategik antara Pusat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) serta Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, sebanyak 100 unit komputer riba sumbangan dermawan, telah berjaya diagihkan kepada pelajar kategori asnaf yang terpilih.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa misi utama universiti adalah untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir daripada arus pembelajaran hanya disebabkan masalah kewangan.
"Hasrat utama pihak universiti adalah jelas; memastikan tiada lagi pelajar yang terpaksa berlapar atau ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana kekangan wang ringgit," ujar beliau semasa majlis penyerahan kepada 68 penerima dari Kampus Induk di VIP Lounge, Bangunan Canselori hari ini.
Tambahnya lagi, pemilihan penerima bukan sekadar berdasarkan latar belakang sosioekonomi, malah mengambil kira prestasi akademik. Peranti tersebut dikhaskan buat pelajar asnaf yang berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.
Bagi memastikan bantuan disalurkan secara saksama, agihan dilakukan secara berfokus mengikut keperluan di ketiga-tiga kampus utama USM iaitu Kampus Induk : 68 unit, Kampus Kesihatan: 27 unit (pelajar perubatan dan sains kesihatan) dan Kampus Kejuruteraan Syed Sirajuddin: 5 unit.
Muhammad Hafiz Haikal Sabri, pelajar Tahun 1 dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan ketikan ditemui berkata, sumbangan ini merupakan motivasi besar untuk beliau terus cemerlang dalam akademik.
Nurul Najwa Abdul Rahman, pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan pula berkata, peranti ini bukan sahaja memudahkan urusan kuliah, malah membantu tugasannya sebagai ahli Majlis Penghuni Desasiswa.
Turut hadir bersama adalah Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya,Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff, Pendaftar USM, Dr. Rafizal Abd Rahim, Bendahari USM, Prof. Madya Dr. Anwar Allah Pitchay, Pengarah, Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM, Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Dr. Nazrul Hasan dan pegawai-pegawai USM.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA