5,514 Pelajar Masuk Kampus USM Mengikuti Pengajian Bersemuka
26 Mac 2022 - Seramai 5,514 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mula mendaftar diri memasuki kampus induk di Pulau Pinang untuk mengikuti program pengajian secara bersemuka dan yang berkeperluan khas mulai 26 Mac 2022 hingga 29 Mac 2022 antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setelah mengikuti pengajian secara dalam talian sejak pandemik Covid-19 pada 2020.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dr Azlinda Azman, proses kemasukan secara pandu lalu di padang kawad USM untuk pengesahan status kesihatan dan mengambil kunci bilik berjalan lancar. "USM mengambil langkah berjaga-jaga dengan pandemik Covid-19 walau pun negara akan memasuki fasa endemik untuk memastikan kampus terhindar daripadanya dengan memastikan para pelajar menunjukkan ujian kendiri yang dilakukan di rumah. "Mereka juga diminta melakukan sekali lagi ujian kendiri selepas tiga hari berada di kampus dan melaporkan kepada pihak universiti jika positif atau bergejala," kata Azlinda.
USM juga turut bersedia dengan pasukan kaunseling dan sokongan jika ada pelajar memerlukan khidmat kepakaran sedemikian setelah lama tidak memasuki kampus sejak pandemik Covid-19. Terdapat juga sebilangan pelajar yang pertama kali menjejak kaki ke kampus terutamanya mereka yang mengikuti pengajian secara dalam talian sejak pendaftaran masuk. Kemasukan pelajar ke kampus turut dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) dan sukarelawan yang melancarkan lagi proses kemasukan. Menurut wakil MPPUSM Yusof Tashfin, mereka membantu di kaunter pandu lalu dan turut membantu semasa pelajar menju ke Desasiswa masing-masing yang mempercepatkan proses kerja yang berlaku.