Skip to main content

PELAJAR OKU PENGLIHATAN TERIMA ANUGERAH “OUTSTANDING YOUTH AWARD”

USM PULAU PINANG, 14 Ogos 2024 :- TAHNIAH DAN SYABAS kepada Saudara Ryenaath A/L Ganesan, Tahun 2 Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan atas pencapaian sebagai penerima Anugerah “Outstanding Youth Award” bersempena 20th Annual Force Awards 2024 Academic Force bertempat di Auditorium Penang State Library, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 27 Julai 2024 baru-baru ini.

Academic Force merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan yang berperanan untuk memberi pengiktirafan sama ada kepada pelajar sekolah, pelajar universiti dan orang awam yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuklah akademik, kokurikulum mahu pun kepimpinan.

Ryenaath yang juga merupakan YDP Sekretariat Insan Istimewa (SISWA) USM ketika dihubungi berkata beliau dipilih berdasarkan kepada beberapa pencapaian merangkumi penganjuran program persatuan serta aktif dalam memberi sumbangan terhadap komuniti.

“Walaupun saya merupakan OKU penglihatan, namun ianya tidak menjadi halangan kepada saya untuk berjaya, kita perlu terus maju ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang diinginkan,” tambahnya lagi.

Hadir menyampaikan hadiah ialah Dineshkumar S.Haridas, pengasas Academic Force (AF) merangkap Pengarah Projek 20th Annual Academic Force Awards Presentation Ceremony.

Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni serta seluruh warga Universiti Sains Malaysia turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Saudara Ryenaath atas pencapaian ini.

Semoga pencapaian ini dapat memberikan inspirasi kepada pelajar lain dan percaya bahawa setiap orang mempunyai keunikan masing-masing serta dapat mencipta impak yang positif kepada diri sendiri dan masyarakat di luar sana.

Ryenaath telah menerima sebuah plak dan turut diberikan peluang untuk memberikan ucapan kepada lebih 300 orang tetamu yang hadir.